Isnin, 31 Januari 2011

KERAJAAN USAHA TANGANI MASALAH BANJIR DI SANDAKAN

Datuk Musa diiringi Datuk Armani dan Datuk Jusli meninjau keadaan banjir yang menjejaskan penduduk di Sandakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, kerajaan negeri akan berusaha mencari langkah penyelesaian bagi masalah banjir dan tanah runtuh yang berlaku di Sandakan.

Katanya, langkah yang akan diambil termasuk melakukan pembaikan terhadap setiap longkang yang tersumbat yang boleh menyebabkan kejadian banjir sehingga menjejaskan penduduk.

Selain daripada itu, menurut Ketua Menteri, kerajaan akan mempertimbangkan kawasan yang perlu dibina longkang serta diperluaskan bagi memastikan setiap saliran air tidak tersumbat.

Menurutnya, beliau sendiri telah melawat ke kawasan yang berlaku kejadian tanah runtuh serta banjir dan melihat berlaku banyak kerosakan harta benda dan rumah penduduk.

“Lebih membimbangkan kejadian tanah runtuh akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu sejak beberapa hari dan turut meragut nyawa penduduk.”

“Oleh itu, langkah yang bakal diambil merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin,” kata beliau selepas melawat salah satu kejadian tanah runtuh di Flat Perumahan Dato. Kg. Gelam di sini.

Musa turut mengucapkan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada dua keluarga mangsa, Low Phang, 59, dan Santi Muktar, 16, yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh itu.

Beliau juga mengarahkan pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) supaya terus melakukan tinjauan dan penilaian mengenai kerosakan dari segi harta benda dan rumah yang dialami penduduk terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan