Isnin, 9 Januari 2012

LAJIM SELAR PIHAK BUAT SPEKULASI, ULAS PASAL "KATAK"

LAJIM..."saya jadi mangsa".

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin menyelar pihak yang membuat spekulasi setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Menurut beliau, setiap kali apabila pilihan raya semakin hampir, ramai pemimpin termasuk beliau sendiri menjadi mangsa dan sasaran khabar angin oleh mereka yang sebenarnya lupa diri.

“Saya digelar “katak”, saya terima gelaran itu tetapi jika bukan kerana katak ini Barisan Nasional (BN) belum tentu dapat memerintah Sabah.”

“Mereka yang berkata-kata dalam facebook (merujuk komen dalam laman sosial facebook) belum tentu dapat duduk di kerusi empuk mereka sekarang,” katanya.

Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort dan Ketua Umno Bahagian Beaufort, berkata keberaniannya melompat adalah demi kepentingan rakyat dan kalau bukan kerana katak ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) masih berkuasa manakala Umno dan parti-parti komponen lain masih menjadi pembangkang.

 “Saya melompat parti adalah untuk rakyat, membawa rakyat belayar dalam sebuah kapal besar supaya mereka dapat menikmati sama seperti apa yang dinikmati oleh rakyat di Semenanjung yang lebih jauh maju ke hadapan,” tegasnya.

Ironinya, PBS yang kehilangan kuasa akibat tindakan Lajim dan Datuk Rubin Balang meninggalkan parti itu untuk menyertai Umno, beberapa tahun kemudian mengubah haluan untuk menyertai semula BN, yang membolehkan beberapa pemimpinnya dapat menganggotai kabinet negeri dan Persekutuan.

Lajim berkata, beliau tidak pernah mengetepikan masalah yang dihadapi rakyat tetapi hairan beliau sering menjadi mangsa setiap kali menjelang pilihan raya.

Beliau menyelitkan kata-kata beliau ini dalam ucapan pada pada majlis pecah tanah bagi pembinaan gerai baru bernilai RM400,000 di Kampung Rancangan Klias di sini bagi menggantikan gerai yang terbakar baru-baru ini.

Khabar angin seumpama ini dilihat para penganalisis politik memberi ruang kepada pembangkang untuk menangguk di air keruh dan pucuk pimpinan BN harus bijak menanganinya supaya ia tidak terus menggelirukan rakyat. - AA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan