Ahad, 8 Januari 2012

LAJIM UMUM BINA GERAI BARU UNTUK MANGSA KEBAKARAN

Lajim bercakap kepada wakil media selepas majlis itu.
JUNAYAH...pemimpin yang sukar dicari ganti.

Kehadiran Anggota Parlimen kawasan Beaufort, Datuk  Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin ke Kampung Rancangan Klias bukan sahaja menunjukkan komitmen serta rasa simpatinya terhadap mereka yang terlibat dengan tragedi kebakaran yang memusnahkan lima unit gerai di kampung tersebut pada awal Januari lepas namun turut membawa khabar gembira kepada penduduk khususnya mangsa terbabit bilamana beliau mengumumkan peruntukan sejumlah RM400,000.00 untuk membina semula gerai kekal di kampung tersebut.

Katanya, peruntukan itu disalurkan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang hanya menunggu pihak Majlis Daerah Beaufort menyediakan skop kerja  serta proses  mengeluarkan tender dan apabila ianya disiapkan, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada awal tahun ini.

“Sebagaimana kita maklum slogan kerajaan Barisan Nasional “Rakyat  Didahulukan Pencapaian Diutamakan” inilah bukti ketelusan kerajaan membantu rakyat Tidak perlu mengemukakan ke mana –mana pihak lagi untuk memohon peruntukan, peruntukan yang ada kita berikan keutamaan kepada rakyat yang memerlukan bantuan segera” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan kekal Gerai Kampung Rancangan, dekat sini pada Sabtu.

Hadir Sama Naib Ketua Umno Bahagian Datuk Kimjus Duim, Penolong Pegawai Daerah Beaufort Jupry Etok, Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Beaufort, Saridah Datuk Mohd.Dun dan Ketua Daerah Mengundi Melabau, Sabdin Maarof.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, berkata sebaik sahaja mendengar berita  kebakaran tersebut  berlaku, pihaknya melalui Pusat Khidmat Parlimen Beaufort dan juga MAYANG Parlimen Beaufort telah turun padang menghulurkan bantuan bagi membantu meringankan beban  mangsa-mangsa yang terlibat.

Katanya,  kelulusan peruntukan yang beliau umumkan merupakan bantuan kekal bagi mereka yang terlibat bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan.

“Apa yang kerajaan lakukan bukan sekadar retorik  atau janji kosong pemimpin, kita akan lakukan apa yang terbaik untuk kepentingan rakyat,” jelas Lajim.

Beberapa penduduk dan mangsa yang terlibat ketika ditemui menyifatkan, komitmen serta keprihatinan Lajim bukan satu perkara baru bagi mereka kerana beliau seorang pemimpin yang sering mendahulukan kepentingan rakya.

Bagi pemimpin masyarakat di kawasan ini, Junayah Sadim  menganggap Lajim sebagai pemimpin rakyat yang sukar dicari ganti
.
“Kita lihat hari ini beliau turun bukan sahaja menunjukkan rasa simpatinya kepada mangsa yang terlibat menghulurkan bantuan namun yang istimewanya beliau turun membawa berita menggembirakan kepada mangsa terbabit dengan pengumuman peruntukan ini,” kata Junayah.

Salah seorang mangsa yang  blok gerainya turut terlibat dalam kebakaran itu, Awang Rali berkata, beliau bersama rakan mangsa yang lain berterima kasih kepada kerajaan khususnya keprihatinan  Lajim sebagai Ahli Parlimen Beaufort yang turun padang dan seterusnya mengumumkan peruntukan bagi membina semula gerai mereka yang musnah itu.

“Dengan ini, kami tidak lagi tertunggu-tunggu bila gerai kami akan dibina semula sebaliknya dengan kesungguhan beliau (Lajim) membolehkan kami dapat meneruskan perniagaan,” katanya. (Oleh JAAFAR ABDUL WAHID).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan