Khamis, 30 Ogos 2012

MASALAH AIR DI KUALA PENYU DIJANGKA BERAKHIR

Paip-paip yang bakal digunakan oleh kontraktor bagi penggantian paip-paip lama yang didapati di beberapa tempat di sepanjang jalan raya ke Menumbok.
 
Masalah air di Kuala Penyu dan Menumbok yang menjadi rungutan penduduk selama ini dijangka akan berakhir berikutan langkah kerajaan meluluskan peruntukan sejumlah RM49 juta bagi menangani masalah tersebut.

Sejajar dengan usaha serius kerajaan itu, kontraktor sudah pun dilantik bagi melaksanakan projek berkenaan.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kuala Penyu, John Teo mengesahkan perkara itu dalam satu pertemuan dengan beliau di sini, baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan syarikat yang telah ditawarkan kerajaan bagi mengendalikan projek tersebut.

Katanya, sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan, beliau gembira dengan perkembangan itu kerana masalah air yang dihadapi penduduk di Kuala Penyu dan Menumbok sudah menjadi isu berpanjangan.

Upacara pecah tanah bagi projek itu akan dilakukan di Kuala Penyu, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kontraktor berkenaan difahamkan sudah pun menghantar paip-paip besar yang akan digunakan bagi kerja-kerja penggantian paip lama di beberapa tempat di sepanjang jalan raya ke Menumbok.

Ini merupakan petanda awal bahawa pelaksanaan kerja-kerja menangani masalah air itu dijangka bermula tidak lama lagi.

Sekiranya ia menjadi kenyataan, masalah air ini tidak lagi menjadi isu panas bagi kerusi DUN Kuala Penyu dan Parlimen Beaufort pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan