KOTA KINABALU: Seorang warga emas yang menumpang teduh di sebuah stor berhampiran tepi sungai di Kampung Rampayan, Menggatal mendapat perhatian Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah.
BUNG MOKTAR...kita terus berjuang.
Oleh PENULIS KHAS.
Pada 21 Februari ini, genaplah 30 tahun Umno mengembangkan sayapnya di Sabah. Bagi memperingatinya, Umno Sabah akan mengadakan sambutan perayaan minggu Ulang Tahun Ke-30 parti itu bertapak di negeri ini.
Bagaimanapun, ia dibuat sehari lebih awal yakni pada Sabtu ini dengan acara sambutan yang sederhana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Walaupun sambutannya agak sederhana namun ia amat bermakna untuk seluruh ahli Umno yang kini dianggarkan lebih 600,000 di seluruh bahagian di negeri ini selepas parti keramat itu secara rasmi bertapak di Sabah 30 tahun yang lalu.
Tidak seperti di awal Umno melebarkan sayapnya ke negeri bawah bayu, parti ini kurang berhadapan dengan cabaran getir sebagaimana yang dialami selepas pilihan nraya umum (PRU) ke-14 apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mana menjadi tunjang utama kerajaan yang memerintah kalah dalam pilihan raya tersebut kepada Pakatan Harapan.
Di awal kehadiran Umno di Sabah, ia ibarat satu tuntutan kerana rakyat di negeri ini menginsafi betapa ketidakstablian dan perpecahan sebenarnya tidak menguntungkan mereka. Atas faktor kesedaran inilah memberi peluang kepada rakyat melihat dan mendapati Umno sebagai sandaran terbaik dan menjadi wahana penyatuan rakyat melalui perkongsian kuasa dalam komponen BN.
Menerusi penyatuan tersebut dilihat mampu mewujudkan kestabilan politik dan merintis jalan untuk pembangunan negeri dari semua aspek.
Situasi itu berubah selepas BN mengalami kekalahan kepada PH dan Warisan di Sabah yang disokong beberapa pemimpin dalam kalangan pemimpin BN sebelum ini yang menyertai Warisan untuk membentuk kerajaan negeri pada PRU ke-14.
Umno Sabah seolah-olah semakin tertekan apabila beberapa pemimpin Umno di Semenanjung Malaysia menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan fenomena itu telah menular ke negeri ini.
Selepas peristiwa itu, Umno Sabah terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran namun ia tidak menjejaskan semangat untuk meneruskan perjuangan.
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah diberi kepercayaan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menggalas tanggungjawab bagi mengetuai Umno Sabah dengan sokongan rakan-rakan yang masih setia dalam parti untuk meneruskan perjuangan.Bung Moktar bersama pejuang-pejuang parti yang tidak mengenal erti keperitan terus berusaha memberi nafas baharu kepada Umno Sabah, bergerak dalam suasana yang dipenuhi kemelut dan ranjau akhirnya berupaya menyuntik semangat kepada ahli-ahli dan penyokong untuk kembali bangkit dan menyemarakkan keyakinan mereka.
"Umno Sabah telah melalui pelbagai kemelut, ranjau dan dugaan termasuk rakan-rakan parti lain dalam komponen meninggalkan BN selepas PRU ke-14,".
"Yang amat menyedihkan apabila 22 pemimpin Umno telah meninggalkan parti termasuk ketua-ketua bahagian, timbalan ketua bahagian serta pemuda dan wanita. Ia satu tamparan kepada parti", kata Bung Moktar.
Susulan situasi itu, beliau berkata, pihaknya terpaksa memikul amanah yang berat apabila Presiden Umno memberi kepercayaan kepadanya untuk mengetuai Umno Sabah ketika itu.
Menurut beliau, dalam kesukaran tersebut, kesetiaan rakan-rakan pemimpin dalam bahagian menguatkan keyakinan mereka untuk melakukan penyusunan semula kepimpinan parti hampir di seluruh bahagian.
"Saya bersama rakan-rakan terpaksa turun padang menjelajah ke seluruh bahagian Umno di Sabah dan hasil daripada penerangan, perjumpaan demi perjumpaan telah membantu memperkasakan kembali peringkat akar umbi parti,".
"Jangkaan saya tidak salah yang melompat hanyalah pemimpin tetapi ahli-ahli Umno tetap terus setia bersama parti," tegasnya.
Di bawah teraju kepimpinannya selaku Ketua Umno Sabah, segala rintangan dan cabaran mampu dihadapi dengan cekal diiringi dengan prinsip perjuangan yang luhur.
Sebagai nakhoda parti, ujian pertama Bung Moktar ialah pilihan raya kecil Parlimen Kimanis apabila Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2019 mengisytiharkan kemenangan Datuk Anifah Aman di kerusi berkenaan pada PRU ke-14 sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati undi tambahan yang menjejaskan keputusan pilihan raya.
Umno Sabah telah meletakkan Ketua Umno Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dicabar Ketua Bahagian Warisan, Datuk Karim Bujang dalam pertarungan satu lawan satu dalam PRK Parlimen Kimanis.
Bagi Bung Moktar yang ketika itu menjadi Pengarah Gerakan PRK Parlimen Kimanis tentu sekali peranannya itu bagaikan satu ujian besar yang terpikul di bahunya.
"Itulah cabaran terbesar malah ketika itu tiada yang mahu menaruh harapan dalam PRK itu," katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau, Umno Sabah berjaya menyakinkan rakyat yang secara kebetulan juga PH dan Warisan tidak menepati aspirasi dan keyakinan rakyat membolehkan calon BN memenangi kerusi Parlimen Kimanis.
Malah majoriti yang diperoleh Mohamad Alamin menewaskan Karim dengan 2,029 undi adalah besar berbanding yang dipeoleh BN dalam PRU ke-14, iaitu 156 undi.
Kejayaan calon BN dari Umno itu bukan sahaja sangat manis bagi parti tetapi sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kebaikan yang di bawa Umno dan BN selama ini.
Pilihan raya umum negeri ke-16 kemudiannya diadakan selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa telah mendapat cukup majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Bagi Umno dan Bung Moktar sendiri sebagai Pengerusi BN Sabah, PRN itu menjadi ujian paling besar kerana ia membabitkan 73 kerusi dipertandingkan ekoran persepadanan baharu.
Dari jumlah itu, Umno Sabah bertanding di 31 kawasan DUN dan Umno/BN telah berjaya memenangi 14 kerusi.
Bung Moktar berkata, walaupun kejayaan ini agak kecil namun ia merupakan petanda positif yang Umno/BN masih diterima rakyat serta menyumbang kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Keputusan PRN itu menjadi satu lonjakan kepada gabungan parti dalam GRS untuk menguasai politik Sabah sehingga kami dapat membentuk kerajaan negeri yang baharu," ujarnya.
Bung Moktar bersama Datuk Yakub Khan, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Datuk Jaffry Ariffin dalam satu mesyuarat parti.Sambil melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berkesempatan melihat kesan ketara kehadiran Umno di Sabah, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya itu menegaskan kekuatan BN/Umno di negeri ini disebabkan dokongan rakyat serta kesepaduan ahli-ahlinya.
Mengenai perjuangan masa hadapan Umno, Bung Moktar menjelaskan, parti itu tidak boleh bergantung kepada jumlah keahliannya semata-mata namun nilai dan kualiti setiap ahli di semua peringkat perlu diperkasakan lagi.
Menurut beliau yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan, sempena sambutan ulang tahun ke-30 Umno Sabah menuntut kepimpinan dan ahli parti agar sentiasa memastikan landasan perjuangan parti sentiasa berpaksikan kepentingan rakyat.
"Hala tuju kita mestilah berdasarkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama. Kita haruslah sentiasa dekat di hati mereka dan dengan demikian, mereka akan memastikan kemenangan kita dalam pilihan raya," katanya.
Haji Samin mendengar penerangan ibu bapa Rayhan berhubung sakit yang diidapi kanak-kanak itu.
Seorang kanak-kanak, adik Muhammad Rayhan Jihan berusia lima tahun yang mengidap "Hidrosefalus", sejenis penyakit ketumbuhan otak mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Zulkifli Muhamad Al-Bakri.
Ia susulan siaran berita mengenai nasib kanak-kanak di Lahad Datu itu di Astro Awani, kelmarin.
Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) itu telah menghubungi Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) cawangan Sabah dan mewakil kepada badan agama itu untuk menyampaikan sumbangan itu kepada ibu bapa Rayhan di Kampung Desa Bajau, Lahad Datu.
Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongki yang turun sendiri menyerahkan sumbangan itu, berkata pihaknya telah dihubungi menteri tersebut selepas melihat laporan stesen televisyen itu mengenai keadaan Rayhan.
"Alhamdulillah saya mewakili Menteri di JPM dan YADIM untuk menyampaikan sumbangan kepada anakanda Rayhan yang sedang diuji Allah dengan sakit ketumbuhan otak pada tahap empat," katanya.
Menurut Samin, beliau diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan untuk membantu meringankan keluarga tersebut memandangkan ayah kepada kanak-kanak ini tidak mempunyai pekerjaan ketika ini kesan daripada PKP.
Samin menyampaikan sumbangan kepada ayah Rayhan.Sementara itu, ibu Rayhan, Julianah Md Salli memberitahu, anaknya itu lahir dan membesar normal seperti kanak-kanak lain tanpa sebarang petanda akan sakit sehingga dia tiba-tiba rebah pada November 2019 dan doktor mengesahkan penyakit yang diidapinya sudah ditahap kritikal.
"Rayhan telah menjalani beberapa rawatan membuang lebihan air di kepala dan pernah ditahan di wad beberapa waktu dan kini meneruskan rawatan dan penjagaan di rumah," katanya.
Bung Moktar (tengah) diapit Yakub dan Jaffry.
Umno Sabah mensasarkan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen pada Pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang seperti yang ditandinginya dalam PRU ke-14 yang lepas.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata berdasarkan fakta pada PRU ke-14, Umno telah diberikan 14 kerusi Parlimen untuk ditandingi.
Kawasan itu ialah Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Silam, Semporna dan Kalabakan.
Katanya, sasaran itu juga berpandukan kajian parti melalui Jabatan Urusan Pilihan Raya (JUARA) Umno Sabah di mana Sekretariat Penyelidikan yang dipengerusikan Ir. Shahelmey Yahya bersama jawatankuasa yang akan membuat penyelidikan tentang kekuatan sokongan rakyat terhadap Umno bagi kerusi yang dituntut.
"Penyelidikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan hasil rumusan laporan itu, kita akan muktamadkan bilangan kerusi yang akan ditandingi parti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat JUARA di Bangunan Umno, Sabtu lepas.
Hadir sama Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan, Setiausaha Umno Sabah merangkap Pengerusi JUARA Umno Sabah, Datuk Jaffry Ariffin dan Pengarah Pilihan Raya PRU ke-15, Datuk Seri Salleh Tun Said.
Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata bagaimanapun perundingan awal soal agihan kerusi itu akan dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara telus berdasarkan kekuatan parti masing-masing.
"Ia akan diputuskan lebih awal dan tidak menunggu saat-saat akhir menghadapi pilihan raya,".
"Pada PRU ke-15, kita nak menang untuk tubuhkan kerajaan bukan sekadar kerusi untuk bermegah, mesti diteliti setiap kerusi, geopolitik, kehendak pengundi dan lokaliti," tegasnya.
Bung Moktar bersama Ketua-ketua Umno Bahagian di Sabah.Terdahulu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya mengadakan perjumpaan bersama menteri dan pembantu menteri dari Umno. Beliau kemudian mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Sabah.
Pada perjumpaan itu, beliau mengingatkan mereka supaya lebih pro aktif turun padang menangani masalah rakyat terutama ketika pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana kebanyakan rakyat di luar bandar terjejas dan memerlukan bantuan.
"Saya berharap semua wakil rakyat Umno mengekalkan momentum untuk terus bekerja dan sentiasa mendekati rakyat bukan waktu pilihan raya sahaja," katanya.
Ketua Umno Sabah itu juga memberitahu bahawa sambutan 30 tahun Umno melebarkan sayapnya ke Sabah akan diadakan pada 20 Februari ini dengan perhimpunan secara sederhana di Bangunan Umno Sabah di sini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. (Oleh JAAFAR WAHID).
Kecederaan di lutut yang dialami bekas pemain pertahanan Sabah, Malim Surat (gambar) memaksa dia mengakhiri kerjaya bolasepak sekitar tahun 1983.
Beliau merupakan pemain legenda negeri seangkatan Datuk James Wong dan Datuk Hassan Sani yang mewarnai pasukan Sabah ketika itu pada lewat 70-an dan awal 80-an.
Malim mulai mengukir nama bersama Sabah dari 1978 hingga 1982 dalam pertandingan Piala Malaysia dan Piala Borneo. Namun sebelum itu, dia juga mewakili Sabah, negeri di bawah bayu dalam Kejohanan Piala Razak pada tahun 1975 dan 1976.
"Kecederaan di lutut saya menyebabkan saya terpaksa menggantung kasut dan bersara dalam bolasepak," kata pemain berusia 63 tahun itu dalam satu temubual eksklusif.
Anehnya, pemain tonggak pertahanan ini tidak menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialaminya malah dia masih mampu bermain dalam pasukan beberapa perlawanan walaupun dalam keadaan lutut berbalut sahaja sebelum bersara.
Menurut Malim, dia hanya menjalani pembedahan di lutut selepas 10 tahun tidak lagi bermain di Sabah Medical Centre (SMC) dengan biaya sendiri.
Sebelum mengalami kecederaan di lutut, dia yang pernah bergandingan pemain pertahanan lain seperti Gerald Sweeney, Richard Barnes, Datuk Zulfikar Ahmad, Awang Ahmad, Mohd Ali Hassan dan Taib Amirbek pernah melakukan pembedahan di peha kanan akibat urat besar putus sekitar 80-an.
"Saya menjalani pembedahan itu di Hospital Universiti Malaya (UM) dan menyebabkan terpaksa berehat selama dua bulan," jelasnya.
Malim memberitahu, dia pernah dipilih mewakili skuad Malaysia B pada tahun 1981 untuk persiapan menghadapi Kejohanan Piala Merdeka.
Kehadirannya dalam pasukan itu memberi peluang dia untuk mengikuti latihan di Jerman selama sebulan bersama jurulatih kebangsaan ketika itu, Karl Weigang.
"Semasa di Jerman, saya berpeluang mengunjungi kelab ternama seperti FC Stuggart, Eintracht Frankfurt dan mengadakan lima perlawanan persahabatan termasuk dengan pasukan kedua Bayern Munich," katanya sambil mengimbas kembali pengalaman berlatih di negara yang terkenal dalam bolasepak itu.
Sekembalinya dari Jerman, kata Malim, dia menarik diri dalam pasukan Malaysia B.
"Saya dan James Wong mengambil keputusan balik ke Sabah manakala seorang lagi rakan mereka Awang Ahmad digugurkan pada saat akhir dalam skuad kendalian Karl Weigang itu."
"Hanya dua pemain dari Sabah, Razali Zinin dan Tony Wong meneruskan latihan dalam pasukan itu," ujar Malim.
Bagaimanapun, pasukan Malaysia B yang bertanding untuk Piala Merdeka ketika itu kurang bernasib baik kerana tidak meraih kejayaan.
Beliau berkata, pembabitannya dalam pasukan Sabah membolehkan dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran sama ada di England, Australia atau Kanada namun dia menolaknya.
"Itu antara peluang yang saya peroleh sebagai pemain di era kegemilangan Sabah dalam bolasepak," kata bekas kakitangan Kinabalu Motor Assembly (KMA) itu.
Tambah Malim, dia memulakan kerjaya bolasepaknya bersama kelab Likas United ketika belajar di tingkatan satu.
"Di situ saya mula bermain bolasepak dan mengasah bakat. Apabila berpeluang mewakili negeri, saya berusaha bermain dengan penuh kesungguhan walaupun tiada ganjaran lumayan seperti diperoleh pemain-pemain sekarang dalam era profesional," tegasnya.
Mereka yang hadir di upacara pengebumian jenazah allahyarham di Tanah Perkuburan Orang Islam Kg Petagas.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pemergian bekas Ketua Pemuda Umno Tenom (Padas), Nabil Haji Rashid sebagai satu kehilangan besar kepada Umno Sabah.
Katanya, beliau sedih dengan pemergian bekas ketua pemuda Umno itu dan kehilangan seorang sahabat dan rakan seperjuangan dalam Umno yang setia dan mempunyai prinsip.
Nabil, 58, meninggal dunia pagi ini akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan di Hospital Queen Elizabeth II dua minggu lepas.
Allahyarham Nabil dimasukkan di wad ICU Hospital QEH.Allahyarham juga merupakan Pegawai Khas bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Secara peribadi saya kehilangan seorang sahabat dan pejuang sejati dalam parti," kata Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah dalam satu hantaran di akaun facebooknya.
Menteri Kerja Raya itu mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham sambil berharap mereka tabah menerima saat yang sukar ini.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh anak termasuk seorang anak perempuan.
Antara yang terawal menziarahi jenazah beliau ialah Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri, Jaafar Wahid.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu allahyarham di pejabatnya kira-kira tiga minggu lepas.
"Allahyarham seorang sahabat yang sering berjenaka apabila berjumpa dan pemergiannya satu kehilangan yang sangat dirasai," katanya.
Jenazah allahyarham Nabil disembahyangkan di Masjid Kampung Petagas dan dikebumikan di tanah perkuburan orang-orang Islam Kg. Petagas bersebelahan dengan Tugu Perang Petagas.
Antara yang hadir memberikan penghormatan termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Setuasaha Umno Sabah, Datuk Jaffry Ariffin yang mewakili Bung Moktar, Adun Klias, Datuk Isnin Aliasnih dan Setiausaha Eksekutif Umno Sabah, Ag Aslee Lakat.
Samin meninjau keadaan rumah usang penduduk berkenaan.
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan membina sebuah rumah di Kampung Saab, Pitas melalui misi bantuan Teratak Prihatin bagi menggantikan sebuah rumah penduduk yang ketika ini dalam keadaan usang.
Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongki, berkata kos pembinaan rumah baharu itu sebanyak RM20,000 dan YADIM sudah menyediakan kos permulaan sebanyak RM5,000.
Menurut beliau, pihaknya memohon sumbangan ikhlas orang ramai bagi membantu membiayai kos pembinaan selebihnya sebanyak RM15,000 lagi.
Sumbangan boleh disalurkan melalui akuan Maybank YADIM 560018113966 dan tarikh tutupnya pada 15 Februari ini, katanya dalam postingnya di akaun facebook beliau.
Samin memberitahu, tapak pembinaan rumah penduduk berkenaan sudah disediakan dan Tentera Darat akan memberi kerjasama untuk memulakan kerja-kerja pembinaan itu dalam minggu ini.
Beliau berharap orang ramai akan menghulurkan sumbangan bagi menjayakan rayuan sumbangan pembangunan rumah asnaf itu.
"Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi pejabat YADIM Negeri Sabah di talian 088-312407," ujarnya.
Difahamkan, sebanyak dua rumah penduduk di bawah misi bantuan Teratak Prihatin sudah siap pembinaannya di Klias, Beaufort.
Kawasan tapak bagi pembinaan rumah baharu itu.