Isnin, 1 November 2010

LDP LOBI KERUSI SAPP PADA PRU-13

BINCANG...Presiden LDP, Datuk V.K Liew (kiri) berbincang dengan Datuk Salleh Said Keruak, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah.

Walaupun bersaiz kecil tetapi berjiwa besar. Itulah diibaratkan dengan Parti Liberal Demokraktik atau LDP apabila secara berani menyuarakan hasrat untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang diwakili oleh parti pembangkang, SAPP pada pilihan raya umum akan datang.

Kerana itu, LDP yang dianggap parti "nyamuk" dalam komponen Barisan Nasional akan berusaha untuk melobi kawasan terbabit selain berusaha untuk mempertahankan tiga kerusi DUN dan satu Parlimen yang dimenanginya dalam pilihan raya umum lepas.

Tiga kerusi DUN itu ialah Tanjung Kapor, Merotai dan Karamunting serta kawasan Parlimen Sandakan. Kerusi DUN Karamunting yang diwakili Peter Pang bagaimanapun menjadi kerusi Bebas pro BN selepas penyandangnya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden LDP sekali gus keluar dari parti itu. Anehnya, Peter Pang masih terus memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Belia dan Sukan.


Presiden LDP, Datuk V.K Liew berkata, partinya akan melobi untuk mendapatkan peluang bertanding di kerusi yang diwakili SAPP memandangkan LDP kini semakin mendapat sokongan daripada masyarakat Cina.


"Kami akan berusaha supaya LDP diberi peluang untuk bertanding di kerusi yang diwakili SAPP," katanya selepas Perhimpunan Agung parti itu di Tawau.
Kerusi SAPP ialah Likas, Luyang, Elopura dan Tanjung Papat bagi DUN dan dua kawasan Parlimen iaitu Tawau dan Sepanggar.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata LDP yang diasaskan di Tawau kira-kira 21 tahun lalu mempunyai keupayaan untuk mewakili BN bertanding di kawasan yang sebelum ini diperuntukkan kepada SAPP sebelum ia mengambil keputusan keluar dari BN untuk menjadi pembangkang.

Bagaimanapun, menurut Liew, partinya belum lagi menetapkan bilangan kerusi yang disasarkan akan ditandinginya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau juga menambah bahawa LDP akan terus mempertahankan kerusi DUN Merotai sekali pun baru-baru ini, Umno, parti tonggak kerajaan BN menyatakan untuk menuntut kerusi tersebut dan mahu mewakilinya bertanding dalam pilihan raya akan datang.


"Kita ambil contoh kawasan Parlimen Hulu Selangor, wakil rakyatnya bukan Melayu walaupun majoriti pengundinya adalah Melayu. Apa yang penting, calon yang bertanding boleh menang.

"Dan kemenangan itu boleh diperoleh asalkan ada kerjasama dari semua parti-parti komponen. Ia juga berdasarkan konsep perkongsian kuasa," tegas Liew.


Beliau berkata, apabila BN memutuskan calon di sesuatu kawasan itu maka calon berkenaan bukan lagi mewakili partinya tetapi ia mewakili BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan