Ahad, 29 Januari 2012

SK LIKAS DIPILIH PUSAT PROGRAM PEMBANGUNAN B-SEPAK NEGARA

Bekas penjaga gol kebangsaan, Lim Chuan Chin bersama sebahagian pemain SK Likas selepas menjalani latihan di padang sekolah berkenaan. Kelihatan bangunan dihadapan ialah SK Likas yang menjadi Pusat My Kids Soccer Sabah.
Ketua jurulath remaja negeri, Osmera Omaro (kanan sekali) bersama jurulatih yang membantunya, Norsi Sabtari, Musa dan Matasan Ahmad (kiri sekali).

Sekolah Kebangsaan (SK) Likas dipilih sebagai pusat Program Pembangunan Bolasepak Negara atau Pusat MY Kids Soccer bagi melatih dan menggilap bakat-bakat pemain bawah 12 tahun di Sabah.

Pemilihan sekolah itu dilakukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Pelajaran dan Kementerian Belia dan Sukan pada tahun lepas.

Ketua jurulatih remaja negeri MSN, Osmera Omaro, berkata program itu bagi meningkat prestasi bolasepak negara di samping persediaan bagi melayakkan diri dalam Kejohanan Bolasepak Piala Dunia Remaja pada 2019.

Bagi mengenal pasti bakat-bakat pemain yang akan menjalani latihan di bawah program My Kids Soccer Sabah, satu sesi pemilihan telah dijalankan di Padang D Kompleks Sukan Likas pada 21 Januari lepas.

Menurut Osmera, pemilihan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan pemain bawah 12 tahun membabitkan murid tahun satu hingga tahun enam dengan kehadiran seramai 276 orang.

Beliau berkata, dalam pemilihan sehari itu, seramai 101 pemain membabitkan murid tahun satu hingga tahun enam disenaraikan untuk menyertai latihan program tersebut.

Daripada jumlah itu, 20 pemain adalah murid tahun enam, 20 pemain (tahun lima), 20 pemain (tahun empat), 18 pemain (tahun tiga), 20 pemain (tahun dua) dan tiga pemain (tahun satu).

Katanya, mereka akan dikehendaki mengikuti latihan program itu berpusat di SK Likas mulai 31 Januari ini.

“Kita telah memaklumkan kepada ibu bapa pemain yang terpilih dan mereka dikehendaki memberi maklum balas bagi memudahkan pemain terbabit dapat menjalani latihan di padang sekolah berkenaan,” katanya.

Osmera menambah, jurulatih yang terbabit dalam sesi pemilihan itu ialah Norsi Sabtari dari SK Likas, Mateli Ekeh (SK Gayang, Tuaran), Mohammad Sabri Sabrin (SK Tanjung Aru) dan Matasan Ahmad (SAFA).

Sementara itu, jurulatih SK Likas, Norsi Sabtari menyifatkan pemilihan SK Likas sebagai pusat program Pembangunan Bolasepak Negara sebagai satu penghargaan terhadap sekolah mereka yang sememangnya mempunyai komitmen bagi menggilap bakat pemain-pemain bawah 12.

“Ini satu pengiktirafan kepada sekolah ini kerana secara kebetulan SK Likas merupakan juara Liga Bolasepak Kota Kinabalu bawah 12 tahun 2011 di samping berjaya mengetengahkan pemain bawah 12 tahun dalam Kejohanan MSSS peringkat negeri selain mewakili Sabah ke Kejohanan MSSM kebangsaan,” katanya.

Beliau memberitahu, bagi SK Likas sendiri, mereka akan terus berusaha untuk melahirkan bakat-bakat baru membabitkan pemain bawah 12 tahun.

“Tugas kita berterusan sebab itu kami tidak pernah ketandusan pemain dan pemilihan SK Likas sebagai Pusat My Kids Soccer tentunya banyak membantu usaha ini malah akan menjadikan lebih baik dengan penyediaan kemudahan dan peralatan sukan oleh MSN,” katanya.

Mengenai dengan sesi pemilihan pemain bagi MY Kids Soccer Sabah baru-baru ini, Norsi berpuas hati kerana 10 pemain tahun enam dari sekolah mereka terpilih daripada 20 pemain yang akan dilatih melalui program itu.

“Mereka terdiri daripada pemain tahun lima pada tahun lepas dan mereka sebenarnya sudah pun mendapat pendedahan di peringkat kebangsaan kerana sebahagian daripada mereka telah mewakili skuad Sabah ke Kejohanan MY Kids Soccer Kebangsaan di Perak pada November tahun lepas,” katanya.

Sabtu, 28 Januari 2012

SOKONG PERANCANGAN KM: DOMPOK

MUSA...berusaha selesaikan masalah tanah.
DOMPOK...sokong perancangan ketua menteri.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sedang berusaha melakukan yang terdaya bagi memastikan pemilik tanah yang belum memperoleh geran mereka termasuk yang tertangguh disebabkan permohonan yang bertindih, mendapatkannya, demikian menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

"Saya telah membincangkan masalah ini dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman. Ia memang mengetahui masalah ini."

"Jadi, elok kita menyokong beliau supaya bukan sahaja beliau dapat menyelesaikan masalah ini tetapi juga perancangan ekonomi yang beliau ingin lakukan untuk Sabah," kata Dompok.

Beliau yang juga Presiden Upko menyatakan perkara ini selepas merasmikan Program Pembangunan Ekonomi untuk belia Pasokmomogun yang berasaskan penamanan kelapa sawit dan getah di Taginambur, Kota Belud, di sini.

Katanya, tidak perlu menunggu geran tanah dikeluarkan bagi tanah yang dipohon sebaliknya buktikan tanah tersebut tidak akan terbiar sebaik sahaja ia diluluskan.

"Kerajaan sentiasa membantu mereka yang benar-benar berminat untuk memanjukan tanah mereka," katanya.

Pada majlis itu, Dompok menyaksikan penyerahan cek bernilai RM100,000 kepada Presiden Pertubuhan Belia Pasokmomogun Sabah, Ewon Benedick oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Tan Sri Dr Yusof Basiron bagi membiayai aktiviti penamanan kelapa sawit dan getah ahli-ahli badan tersebut.

Menteri itu juga kemudian menyerahkan geran tanah kepada penduduk Kampung Gensurai, kira-kira 27 kilometer dari Kota Belud.

Sabtu, 21 Januari 2012

PEMILIHAN MY KIDS SOCCER SABAH DAPAT SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN

Ketua jurulatih remaja negeri, Osmera Omaro (dua dari kanan) bersama Setiausaha Kerja SAFA, Hasbula Yahya (kanan sekali), jurulatih skuad Liga Simpanan, Johnny Dominicus (kiri sekali) dan bekas pemain Sabah, Suharmin Yusof menyaksikan pemilihan itu.
Pemain-pemain yang mengikuti pemilihan program My Kids Soccer Sabah.
TELITI...para jurulatih melakukan tapisan terakhir bagi memilih 20 pemain sahaja bagi kategori tahun enam.
Pemain-pemain SK Likas dari kiri; Herman, Ramlin Jamrih, Johan Mansur dan Mohd Hizaz Lokman antara pemain sekolah berkenaan yang terpilih.


Pemilihan bagi Program Pembangunan Bolasepak Negara bagi Sabah (My Kids Soccer Sabah) mendapat sambutan memberangsangkan kalangan pemain berusia  bawah 12 tahun dengan kehadiran seramai 276 menyertainya yang dijalankan di Padang D Kompleks Sukan Likas di sini pada Sabtu (21 Januari).

Pemilihan sehari itu anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan.

Ketua jurulatih remaja negeri MSN, Osmera Omaro, berkata pemilihan itu membabitkan pemain berusia tujuh tahun hingga 12 tahun iaitu murid tahun satu hingga tahun enam.

Katanya, berdasarkan jumlah penyertaan yang ramai itu membuktikan pemilihan program tersebut ternyata mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Beliau berkata, daripada 276 peserta itu, hanya seramai 101 pemain telah dipilih untuk mengikuti latihan bagi program tersebut yang akan dijalankan di SK Likas mulai 31 Januari ini.

Pemain-pemain yang terpilih itu terdiri daripada 20 pemain bagi tahun enam, 20 pemain (tahun lima), 20 pemain (tahun empat), 18 pemain (tahun tiga), 20 pemain (tahun dua) dan tiga pemain (tahun satu).

Menurut Osmera, objektif program itu ialah bagi meningkatkan prestasi bolasepak negara selain persediaan pasukan bagi kelayakan ke Piala Dunia 2019.

Beliau berkata, pihaknya akan merangka jadual bagi memastikan semua pemain yang terpilih dapat mengikuti latihan yang dikehendaki sepanjang tahun.

Dalam sesi pemilihan itu, beliau dibantu beberapa penolong jurulatih terdiri daripada Norsi Sabtari dari SK Likas, Mateli Ekeh (SK Gayang, Tuaran), Mohammad Sabri Sabrin (SK Tanjung Aru) dan Matasan Ahmad (SAFA).

Turut hadir menyaksikan pemilihan itu ialah Setiausaha Kerja SAFA, Hasbula Yahya dan jurulatih skuad Liga Simpanan, Johnny Dominicus.



KERAJAAN BN IKHLAS, KONSISTEN BANTU RAKYAT, KATA LAJIM

Lajim menyampaikan kad ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tionghua yang menyambut perayaan itu.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah bersikap pilih kasih, memonopoli kuasa, kejam serta bertindak tidak adil kepada rakyat sebagaimana didakwa pembangkang.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin berkata, sebaliknya kerajaan begitu ikhlas dan jujur serta konsisten dalam membantu meningkatkan kualiti hidup rakyat tanpa mengira perbezaan latar belakang kaum, agama dan fahaman politik.

Kerana itu, Ahli Perlimen Beaufort itu berharap rakyat dapat menilai dengan baik siapa yang menjalankan tanggungjawab dengan jujur tanpa prejudis dan siapa pula yang hanya pandai menabur janji di samping melemparkan pelbagai tuduhan.

"Semua rakyat tidak kira siapa mereka dilayan dengan adil dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan, sosial dan pendidikan. Kita juga bukan sebuah kerajaan yang rakus dan tidak saksama. Kuasa yang ada kita kongsi secara adil dan semua kaum mempunyai wakil mereka dalam kerajaan” katanya semasa ditemui selepas mengagih-agihkan kad ucapan Tahun baru Cina dan Ang Pow kepada golongan peniaga Tionghua di pekan Kuala Penyu.

Sebelum ini, beliau bersama rombongan yang disertai Wakil Rakyat Kuala Penyu John Teo Mau Sing,Pegawai Daerah Kuala Penyu Edmond Teo ,Timbalan Ketua Umno bahagian, Isnin Haji Aliasnih, Ketua Pergerakan Pemuda, Haji Mohd.Ishak Haji Ibrahim dan Ketua Puteri Saridah Datuk Mohd. Dun turut mengagih-agihkan kad ucapan tahun baru dan ang pow kepada golongan masyarakat peniaga Tionghua di pekan Menumbok.

Lajim menambah walaupun hak orang Melayu dan Islam itu kebal dalam Perlembagaan, kerajaan  tetap memberi pengiktirafan kepada agama dan budaya kaum lain dengan memberikan kebebasan untuk mereka merayakan sambutan perayaan seperti tahun baru cina, krismas dan deepevali tanpa sebarang sekatan

Mengulas perayaan Tahun Baru Cina yang bakal dirayakan oleh masyarakat Cina di negeri ini, timbalan menteri itu berharap ianya dapat disambut dalam suasana yang meriah dan harmoni dengan mengekalkan budaya kunjung mengunjung sebagai amalan murni selaras dengan Gagasan 1 Malaysia. (JAW).

PAIRIN AKUI BN LEBIH BAIK DI BAWAH NAJIB

Pairin (tengah) bersama Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dalam satu majlis sambutan perayaan Pesta Kaamatan.

Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini lebih baik daripada sebelumnya, kata Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau berkata, pembangunan di seluruh negara adalah lebih baik daripada keadaan yang berlaku sebelum ini selain para pemimpin di peringkat negeri serta pemimpin parti-parti komponen BN juga mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan pemimpin di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Dengan mempunyai hubungan yang baik adalah mudah bagi kami untuk bertemu dan mengemukakan masalah kepada perdana menteri pada bila-bila masa serta setiap kali ada keperluan bagi kami untuk berbuat demikian,” katanya.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mesra dengan bertemu orang ramai dan peniaga di pekan Keningau sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Katanya, hubungan baik dalam kalangan pemimpin negeri semakin ketara kerana perdana menteri telah mengambil pendekatan bagi memajukan rakyat.

“Kami berterima kasih dengan perdana menteri kerana mengambil langkah baik serta pendekatan bijak terhadap perpaduan rakyat dengan mewujudkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan,” ujarnya.

Mengenai program tinjauan mesra itu, Pairin berkata, ia merupakan aktiviti tahunan sempena menjelangnya perayaan Tahun Baru Cina selain memberi peluang kepada rakyat untuk bertemu dengan pemimpin mereka serta pegawai kerajaan yang terlibat.

Khamis, 19 Januari 2012

BN SABAH BELUM FIKIR SOAL KERUSI

MUSA...kini tumpu kerja untuk rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, Barisan Nasional (BN) Sabah tidak mahu terlalu memikirkan soal pembahagian kerusi untuk pilihan raya umum akan datang selagi belum berpuas hati dengan tanggungjawab terhadap rakyat. 

Katanya, ketika ini BN Sabah lebih menumpukan kepada soal kerja untuk rakyat. 

“Kerja untuk rakyat mesti berterusan, bukan bila dekat pilihan raya saja baru hendak tolong rakyat,” katanya.

Musa yang juga Pengerusi BN Sabah menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis graduasi ke-12 Kolej PTPL Sabah di Kota Kinabalu.

Menurutnya, BN Sabah juga mahu wakil-wakil rakyatnya terus mendekatkan diri dengan rakyat bagi mengetahui masalah mereka bagi memudahkan kerajaan negeri untuk membantu mereka.

Ketua Menteri  berkata, negara ini bertuah kerana mempunyai perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang sangat prihatin dengan rakyat.

Beliau memberitahu, semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah Isnin lepas, BN negeri diminta memantapkan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen agar mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Khamis, 12 Januari 2012

PBBS BUAT LAPORAN POLIS TERHADAP PORTAL HINA JANANG GAYUH

Roslan bersama Setiausaha Agung PBBS, Awang Anak Abdul Sani (tengah) dan beberapa ahli majlis tertinggi persatuan membawa sepanduk bagi menyatakan sokongan padu terhadap Janang Gayuh selepas membuat laporan polis.

Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) membuat laporan polis terhadap sebuah portal dan individu tertentu yang didakwa menghina presiden persatuan itu, Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin.

Naib Presiden (PBBS), Haji Roslan Muharam, berkata PBBS kesal dengan tindakan portal tersebut selain perbuatan individu tertentu yang menggunakan perkataan kesat termasuk ilustrasi kartun yang mengejek Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort.

“Kita faham dalam suasana kita akan menghadapi piliharaya umum, pelbagai sepekulasi digembar-gemburkan baik di portal atau laman sosial facebook tetapi ia seharusnya dibuat secara lebih berhemah dan mempunyai fakta.”

“Namun jika ianya dibuat lebih cenderung untuk menghina, memfitnah dan membangkitkan isu bangsa ia boleh menimbulkan kemarahan kepada masyarakat kami kerana menghina Janang Gayuh, ” katanya di sini ketika ditemui selepas mengetuai ahli majlis tertinggi dan ahli-ahli PBBS membuat laporan polis di Balai Polis Beaufort, kelmarin.

Laporan itu merupakan laporan yang kedua selepas Umno bahagian  Beaufort Isnin lepas membuat laporan yang sama di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu.

Menurut Roslan, PBBS membuat laporan polis kerana persatuan tidak mahu Lajim keseorangan menghadapi isu ini dan dalam apa juga keadaan, kami tetap memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan beliau (Lajim ) selaku Presiden PBBS,” katanya.

Sehubungan itu, Roslan yang juga Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Lumadan meminta pihak berkuasa menyiasat perkara ini agar ia tidak berterusan sehingga  boleh menjejaskan keharmonian  masyarakat pelbagai kaum ekoran beberapa kenyataan yang membangkitkan isu bangsa.

“Masyarakat Bisaya khususnya ahli ahli PBBS  masih memerlukan kepimpinan Lajim bukan sahaja sebagai pemimpin persatuan malah sebagai pemimpin parti  kerana beliau seorang yang prihatin dan disenangi rakyat,”  tambah beliau. (JAW).



Rabu, 11 Januari 2012

KM YAKIN RAKYAT BIJAK BUAT PILIHAN

MUSA...rakyat Sabah bijak menilai.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman yakin rakyat di negeri ini bijak menilai dan membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya umum akan datang seperti yang dibuktikan dalam pilihan raya umum tahun 2008.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, sesiapa pun boleh menyertai atau menubuhkan parti yang mereka suka.

"Saya percaya rakyat Sabah cukup bijak untuk membuat pilihan apabila tiba masanya," katanya sebagai mengulas penubuhan cabang Parti Reformasi Negeri (Star) yang berpusat di Sarawak di negeri ini, yang diketuai bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey G. Kitingan, baru-baru ini.

Musa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri dan Badan Perhubungan Umno Sabah menyatakan demikian selepas melawat Kompleks Bersepadu Kementerian Penerangan di Kepayan, di sini.

Pada pilihan raya lepas, BN Sabah hampir menyapu bersih kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan memenangi 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN.

Hanya satu kerusi Parlimen dan satu kerusi terlepas kepada DAP iaitu kerusi Parlimen Kota Kinabalu dimenenagi Dr Hiew Keng Chiu dan kerusi DUN Sri Tanjung dimenangi, Jimmy Wong.

Isnin, 9 Januari 2012

PM BERSAMA CHOR DAN LAJIM TINJAU PROJEK PPR

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan sesuatu kepada Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin sambil memegang bahu beliau ketika Perdana Menteri melakukan lawatan kerja  ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Hassan, Hulu Bernam, Selangor pada Jumaat.  

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato' Seri Chor Chee Heung dan Lajim menyambut Perdana Menteri ke majlis berkenaan.

Lawatan tersebut selain meninjau kemajuan projek perumahan tersebut, Najib yang juga Menteri Kewangan turut meluangkan masa untuk berjumpa dan beramah mesra dengan penduduk setempat sebagaimana yang diamalkannya dalam sesi turun padang bagi mendekati rakyat  untuk menyelami masalah mereka di peringkat akar umbi.

BASAL: ADAT UNIK SUKU KAUM KADAZANDUSUN TATANA

Gambar atas: Sebahagian rangka rumah panjang yang digunakan untuk merayakan Pesta Basal yang terakhir pada tahun 70-an. Gambar bawah: Mendiang Itan menceritakan pengalaman mengadakan Pesta Basal sebelum beliau meninggal dunia.
Hidangan makanan ini disediakan dipercayai bagi menjamu roh manusia yang meninggal dunia dan biasanya dilakukan pada upacara moginum suku kaum Kadazandusun Tatana.

Basal atau disebut juga sebagai Pesta Basal merupakan perayaan adat-istiadat suku kaum Kadazandusun Tatana di daerah Kuala Penyu yang sememangnya begitu sinonim dengan kaum berkenaan.

Walaupun adat istiadat ini sudah luput ditelan zaman namun ia sentiasa menjadi nostalgia masyarakat tersebut.

Malah sehingga kini, keunikan perayaan itu masih menarik perhatian generasi baru suku kaum Tatana meskipun mereka hanya mendapat gambaran melalui penceritaan daripada generasi terdahulu yang pernah mengamalkannya.

Keistimewaan mengenai perayaan itu menjadi ukuran yang usaha-usaha untuk menghidupkan semula adat-istiadat ini agak menyulitkan bagi genarasi baru suku kaum tersebut.

Bahkan apabila disebut sahaja mengenai perayaan ini, masyarakat yang mempraktiknya sebelum ini terutama golongan generasi baru yang berfikiran moden mungkin akan mudah mencari alasan untuk mempertikaikannya.

Pesta Basal sebenarnya adalah lebih berbentuk “Pesta korban” daripada perayaan biasa semata-mata kerana ia membabitkan nyawa manusia. Soalnya, sekarang, apakah ada tanda-tanda perayaan ini telah mengalami perubahan sehingga ada tolak ansur di segi pelanggaran adat resam yang mengerikan itu.

Seorang nenek, Itan Lawala yang pernah terbabit dalam perayaan itu semasa hayatnya (sudah meninggal dunia) mengakui bahawa perayaan tradisi ini merupakan sesuatu yang unik dan ia hanya diamalkan oleh masyarakat Tattana di daerah Kuala Penyu.

Katanya, Pesta Basal merupakan perayaan secara besar-besaran dan sangat meriah. Ia dirayakan bersama oleh semua masyarakat berbilang kaum di daerah berkenaan sungguhpun ia perayaan yang menjadi warisan suku kaum Tatana.

Sekalipun barangkali terlalu sukar untuk membuat penelitian mendalam mengenai kelengkapan dan keperluan yang seolah-olah wajib dalam perayaan ini, tetapi memadai jika disebut iaitu sebuah rumah panjang, tujuh ekor kerbau, sehelai bendera yang dipacakkan di sebatang kayu yang dipanggil “Talibadak” dan 14 orang anak muda termasuk tujuh pemuda tampan dan tujuh gadis jelita yang dipanggil Anak Sosodom menjadi keperluan yang amat mustahak.

Bahan-bahan lain termasuk 10 karung beras pulut untuk dijadikan tapai (sejenis minuman keras), seekor kambing berbuluh hitam, seekor ayam berbuluh songsang dan kunyit untuk mewarnakan beras kuning.

Rumah panjang yang menjadi pusat utama bagi merayakan Pesta Basal ini mempunyai tujuh ‘selang’. Menurut kepercayaan, selang-selang tersebut merupakan perhiasan bagi mengindahkan suasana rumah panjang tersebut.

Di bahagian ruang dalam rumah panjang itu, ia dihiasai indah dengan ukiran yang melambangkan corak kehidupan masyarakat Tatana. Sebahagian besar ruangnya lapang kerana kawasan tersebut akan dijadikan ruang untuk mengadakan persembahan tarian secara beramai-ramai.

Di ruang tengahnya, diletakkan sebuah tempayan besar, saiznya sebesar sebuah perigi yang diisikan dengan tapai. Ia dikenali sebagai “Takasan”. Air Takasan itu akan ditambah setiap hari dengan air tapai yang dibuat dalam tempayan lain yang lebih kecil. Sambil meminum air tapai dari Takasan itu menggunakan saluran buluh kecil, orang ramai akan menari tarian sumayau mengelilingi Takasan.

Dalam suasana yang penuh keriuhan, orang ramai terbabit akan dibahagikan kepada tiga kumpulan sambil menyanyikan tiga jenis rangkap lagu.

Kumpulan pertama, Anak Sosodom lelaki menyanyikan rangkap lagu berbunyi;
“siburarang-burarang bunsut saging bongkuang,
ada kou raring jami mombunsut saging muyun”

Kumpulan kedua, yang membabitkan Anak Sosodom perempuan menjawab;
iada muyun bunsut, mokolilou kumuyun,
momuruk-muruk todung, tanda anak pouma”

Manakala kumpulan ketiga yang terdiri daripada orang yang sumayau dikeliling Takasan akan menyanyikan rangkap lagu;
“baka-baka purimba, mokokuduliang madi, tanda anak pouma”

Persembahan sumayau mengelilingi Takasan kemudian disusuli dengan acara lumandai iaitu acara untuk pembukaan memukul gendang dengan diiringi dengan kata-kata mentera dan jampi serapah. Ia merupakan pesanan yang dikirim melalui bunyi pukulan gendang yang dipercayai akan dapat memasuki tempat-tempat yang “diubati” untuk memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada penduduk terlibat.

Perayaan ini lazimnya akan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam. Sebagai pembuka tirai, adat “Moginum” akan diadakan pada malam pertama. Pada ketika itu, “kolombigi” iaitu sejenis bahan campuran daging kambing, ayam dan beras kuning disediakan dan disimpan di rumah panjang. Bahan itu akan diagih-agihkan kepada orang ramai pada kemuncak perayaan tersebut.

Sepanjang tujuh malam berturut-turut, orang ramai juga akan berpusu-pusu untuk terus mengelilingi Takasan di rumah panjang tersebut. Sambil mengambil kesempatan meminum air tapai yang disediakan di dalam tempayan berkenaan, orang ramai juga akan menyerikan lagi suasana dengan pelbagai gelagat seperti menari sambil memekik-memekik tanda keriangan.

Di sebelah hujung rumah panjang itu, terdapat sebuah bilik yang dianggap ‘keramat’. Ia dihiasi dengan pelbagai jenis tengkorak manusia, yang menurut kepercayaan suku kaum tersebut, merupakan mangsa korban selain terdapat keris pusaka atau dipanggil “elang” turut disimpan di situ sepanjang perayaan.

Bilik itu diawasi oleh beberapa orang tua yang berpengalaman mengenai adat-istiadat. Tugas mereka ialah untuk memastikan kanak-kanak tidak memasuki bilik tersebut kerana kanak-kanak dilarang untuk memasuki kawasan itu bagi mengelak terkena sumpahan.

Berbeza dengan perayaan adat-istiadat Kadazandusun yang lain, Pesta Basal ini lebih mirip kepada pesta korban di rumah panjang meskipun ia hanya elemen sampingan dalam intipati adat perayaan itu.

Bagaimanapun fungsi sebenar pesta itu ialah sebagai satu adat tradisi bagi membersih atau memulihkan keadaan duniawi, yang menurut kepercayaan masyarakat Tatana, dipenuhi dengan perbuatan sumbang, kesengsaraan yang dialami penduduk akibat sikap dan perbuatan manusia.

Perbuatan sumbang itu biasanya dikaitkan dengan perbuatan maksiat, kekacauan, mencuri, jenayah dan bermacam-macam lagi yang dikutuk oleh Tuhan atau “Minamangun” yang disebut oleh masyarakat Kadazandusun. Apabila perayaan itu diadakan maka segala kejahatan dan bencana buruk yang menimpa akan dapat dipulihkan oleh “Minamangun”.

Menurut penceritaan nenek Itan, sewaktu pesta itu dirayakan selama seminggu dengan mengorbankan tujuh ekor kerbau sebagai jamuan. Anehnya dalam jangka masa itu juga, orang ramai yang terlibat menjayakan perayaan itu tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja harian.

Keadaan itu sangat dititik-beratkan kerana ia menggambarkan kesetiaan dan penghormatan mereka terhadap perjalanan perayaan itu. Orang ramai yang menghadirinya juga harus bersikap mulia dan beradab bagi menghindari perkara-perkara buruk menimpa. Jika mereka tersilap atau kebetulan mereka didapati mengusik anak-anak gadis umpamanya, mereka tidak mungkin dapat melepaskan diri tanpa memberi alasan.

Walau apapun bentuk alasan yang diberikan, orang-orang tertentu yang bertanggungjawab terhadap pesta itu pasti akan menjalankan kewajipan mereka iaitu menjalankan hukuman bunuh kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan termasuk melanggar peraturan yang ditetapkan dalam adat-istiadat itu.

Nenek Itan tidak menafikan bahawa kejadian menjatuhi hukuman maut kepada pesalah sering dilakukan dalam perayaan Pesta Basal ini pada masa silam.

Sambil menyingkap kembali peristiwa yang mengerikan itu, beliau berkata, “hukuman itu biasanya dilakukan tanpa sebarang pertimbangan.”

Dalam erti kata lain, pesalah tidak akan diberi peluang untuk memohon keampunan dan hukuman bunuh itu mesti dilakukan sebagai membuktikan bahawa hukuman itu paling ketat dan tidak boleh dipersendakan.

Menurut beliau, segala tugasan untuk menjalankan hukuman itu akan disempurnakan oleh mereka yang terpilih sahaja berpandukan pengalaman, kemahiran dan kepercayaan yang diberikan.

Mereka yang menerima hukuman itu akan menghadapi maut sama ada dicincang lumat atau disimpan dalam sebuah bubuh dan kemudiannya dihanyutkan ke sungai atau laut, katanya.

Mungkin kerana peristiwa silam yang memaparkan betapa dasyatnya kisah Pesta Basal menjadikan perayaan ini sukar dipadamkan dari ingatan suku kaum Tatana yang pernah mengamalkannya.

Nenek Itan memberitahu, kali terakhir pesta itu diadakan di sekitar tahun 1970-an di Kampung Kayul kira-kira tujuh kilometer dari pekan Kuala Penyu tetapi tidak seorangpun yang menerima hukuman serupa itu.

Tujuh ekor kerbau yang dikorbankan sepanjang seminggu perayaan itu berlangsung. Ini bermakna setiap hari, seekor kerbau akan disembelih untuk jamuan makan, Jamuan secara beramai-ramai itu berterusan selama tujuh malam berturut-turut.

Upacara pemujaan ringkas turut dijalankan. Suasana itu dapat dilihat terutama pada malam pertama dan ia hanya dihadiri oleh orang-orang tua tertentu sahaja. Pada malam-malam berikutnya, orang ramai digalakkan menjamu selera masing-masing dengan makanan yang disediakan.

Pesta itu juga memerlukan khidmat sekumpulan “Anak Sosodom”. Mereka ini akan berperanan sebagai perhiasan dan ‘orang perantaraan’. Anak Sosodom terdiri daripada tujuh pemuda tampan dan tujuh gadis jelita.  Mereka ini dikehendaki berada di salah satu ruang yang berhadapan dengan pintu rumah panjang. Mereka seolah-olah menjadi perhiasan sepanjang malam pertama. Anak-anak gadis itu kelihatan seperti bidadari dari kayangan kerana mereka lengkap dihiasai dengan pakaian suku kaum yang penuh dengan manik-manik berwarna-warni.

Di hadapan Anak-Anak Sosodom itu terhidang bermacam-macam jenis makanan yang diletakkan di atas dulang. Cahaya lilin yang berkilauan menyerikan suasana. Hidangan makanan yang berlambak kadangkala membuatkan mereka yang melihatnya berasa gerun. Begitupun, tidak terlalu janggal jika terdetik perasaan sedemikian kerana sesungguhnya hidangan itu sendiri adalah bermotifkan untuk menjamu roh-roh manusia yang telah mati dalam pesta itu pada zaman lampau.

Bagi Anak-Anak Sosodom yang ditugaskan sebagai perhiasan di kawasan hamparan hidangan itu sedikitpun tidak menunjukkan rasa takut. Ini kerana cara untuk memilih mereka itu bukanlah dibuat secara sewenang-wenangnya. 

Untuk mendapatkan Anak Sosodom ini, orang tertentu yang diarah oleh pengendali Pesta Basal itu akan menggunakan paksaan untuk mereka menggalas tugasan itu. Pemuda-pemuda tampan dan gadis-gadis jelita akan dipaksa melalui tangkapan yang dilakukan oleh pertugas-pertugas yang diamanahkan. Ini dilakukan beberapa hari, mungkin juga berminggu sebelum pesta itu bermula.

Apabila mereka ditangkap secara rasmi, mereka tidak boleh menolak kerana jika berbuat demikian nescaya sesuatu musibah akan menimpa mereka.

Pada kemuncak Pesta Basal ini diadakan upacara penebangan bendera yang dipanggil Talibadak yang dianggarkan pada ketinggian sekitar 20 meter. Bendera itu ditegakkan berhadapan dengan rumah panjang dan di pagar. Pagar khas itu akan dikawal oleh dua orang penjaga.

Dalam pagar itu terdapat hidangan hati kambing dan hati lembu. Kawasan pagar itu akan dijadikan kawasan “Pisangadan” atau tapak perlawanan. Di situ didapati diletakkan “elang” sejenis kering besar yang digunakan untuk upacara “menyongog” atau berlawan. Elang itu yang dihiasi dengan rambut panjang yang dipanggil “Sinogumba”, menandakan pengorbanan nyawa manusia.     

Upacara penebangan itu pula dilakukan oleh bomoh-bomoh dan hanya boleh dihadiri oleh orang-orang tua. Kanak-kanak ditegah sama sekali menyaksikan upacara itu kerana dipercayai akan mendapat sial.

Upacara itu sangat penting kerana ia bertujuan memastikan orang ramai tidak mendapat sebarang peristiwa buruk sepanjang sambutan pesta itu. Manakala cebisan bendera yang dikoyakkan untuk membungkus “kolombingi” yang merupakan bahan campuran daging kambing dan ayam yang dicincang dicampurkan dengan beras kuning

Kolombingi itu akan dibahagi-bahagikan dengan orang ramai untuk dibawa pulang ke rumah. Bahan itu kemudian akan ditaburkan ke sawah padi atau ladang-ladang pertanian masing-masing untuk menghasilkan tuaian yang lumayan.

Tujuh pasangan Anak Sosodom akan ditamatkan tugasan mereka dengan dikehendaki berjalan mengelilingi rumah panjang sambil berdoa agar kawasan mereka yang sebelumnya mengalami pelbagai bencana akan dapat dibersihkan daripada segala kejahatan dan keburukan. Upacara ini dipanggil “Monyoloud” dengan harapan bahawa kawasan mereka akan dapat dipulihkan kembali dan dilimpahi rezeki oleh Tuhan.

Ia disusuli dengan upacara yang dipanggil “Momuroh”. Pasangan Anak Sosodom itu akan disemburkan dengan “Inggat” iaitu buah pinang yang dikunyah dengan kapur, sirih dan halia. Selepas disembur dengan Inggat, mereka akan diminta untuk pergi mandi. Pada ketika itu, mereka akan saling bersiraman di antara satu dengan yang lain.

Manakala pokok Talibadak, tempat memacak bendera itu sebaik sahaja tumbang ke tanah kemudian akan disemadikan menandakan berakhirnya perayaan tersebut.

Hakikatnya Pesta Basal ini lebih merupakan satu perayaan adat semata-mata dan ia juga boleh dianggap sebagai budaya “aneh” yang diwarisi oleh suku kaum Kadazandusun Tatana.     

Meskipun pesta ini tidak mungkin dapat dihidupkan semula tetapi perayaan terakhir yang diadakan lebih 30 tahun lalu itu setidak-tidaknya telah memberi peluang kepada orang ramai menyelami sendiri tentang keunikan dan rashia di sebalik perayaan tersebut.
Seorang bobolian (bomoh) lelaki suku kaum Kadazandusun Tatana, Putak Basah yang biasa mengetuai acara menari tarian sumayau pada upacara moginum dijalankan.


LAJIM SELAR PIHAK BUAT SPEKULASI, ULAS PASAL "KATAK"

LAJIM..."saya jadi mangsa".

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin menyelar pihak yang membuat spekulasi setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Menurut beliau, setiap kali apabila pilihan raya semakin hampir, ramai pemimpin termasuk beliau sendiri menjadi mangsa dan sasaran khabar angin oleh mereka yang sebenarnya lupa diri.

“Saya digelar “katak”, saya terima gelaran itu tetapi jika bukan kerana katak ini Barisan Nasional (BN) belum tentu dapat memerintah Sabah.”

“Mereka yang berkata-kata dalam facebook (merujuk komen dalam laman sosial facebook) belum tentu dapat duduk di kerusi empuk mereka sekarang,” katanya.

Lajim yang juga Anggota Parlimen Beaufort dan Ketua Umno Bahagian Beaufort, berkata keberaniannya melompat adalah demi kepentingan rakyat dan kalau bukan kerana katak ini, Parti Bersatu Sabah (PBS) masih berkuasa manakala Umno dan parti-parti komponen lain masih menjadi pembangkang.

 “Saya melompat parti adalah untuk rakyat, membawa rakyat belayar dalam sebuah kapal besar supaya mereka dapat menikmati sama seperti apa yang dinikmati oleh rakyat di Semenanjung yang lebih jauh maju ke hadapan,” tegasnya.

Ironinya, PBS yang kehilangan kuasa akibat tindakan Lajim dan Datuk Rubin Balang meninggalkan parti itu untuk menyertai Umno, beberapa tahun kemudian mengubah haluan untuk menyertai semula BN, yang membolehkan beberapa pemimpinnya dapat menganggotai kabinet negeri dan Persekutuan.

Lajim berkata, beliau tidak pernah mengetepikan masalah yang dihadapi rakyat tetapi hairan beliau sering menjadi mangsa setiap kali menjelang pilihan raya.

Beliau menyelitkan kata-kata beliau ini dalam ucapan pada pada majlis pecah tanah bagi pembinaan gerai baru bernilai RM400,000 di Kampung Rancangan Klias di sini bagi menggantikan gerai yang terbakar baru-baru ini.

Khabar angin seumpama ini dilihat para penganalisis politik memberi ruang kepada pembangkang untuk menangguk di air keruh dan pucuk pimpinan BN harus bijak menanganinya supaya ia tidak terus menggelirukan rakyat. - AA.