Ahad, 13 November 2022

PASTIKAN KEMENANGAN CALON BN DAN GRS, KATA KM

Hajiji bersama Bung Moktar pada Majlis pemimpin bersama rakyat di Pimping, Membakut.

MEMBAKUT--Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor menyeru rakyat khususnya penyokong Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi sokongan sepenuhnya kepada calon-calon BN dan GRS yang bertanding dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Katanya, penyokong kedua-dua gabungan tersebut perlu saling bekerjasama bagi memastikan kemenangan calon-calon BN-GRS yang telah diberi kepercayaan untuk mewakili gabungan berkenaan pada PRU kali ini.

"Kita perlu menyokong dan memenangkan mereka untuk membolehkan usaha dan komitmen kerajaan negeri untuk membawa pembangunan berterusan dan berkhidmat demi kesejahteraan rakyat,'' katanya pada Majlis pemimpin bersama rakyat di Pimping, Membakut pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd Ariffin Arif dan para pemimpin GRS dan BN serta calon BN Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Hajiji berucap di hadapan penyokong GRS dan BN pada majlis itu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, di peringkat kerajaan negeri, GRS dan BN telah membuktikan kerjasama yang baik untuk berkhidmat kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, gabungan kerjasama antara GRS dan BN merupakan satu komitmen yang berterusan untuk meneruskan usaha-usaha membangun negeri dan demi kesejahteraan rakyat.

"Justeru, keputusan untuk GRS dan BN bersama-sama menghadapi PRU kali ini menuntut kerjasama erat dan dokongan penyokong-penyokong GRS dan BN menterjemahkan dalam kertas undi bagi memenangkan calon-calon yang mewakili kedua-dua gabungan," tegasnya.

Bung Moktar diberi sambutan memberangsangkan dalam satu program BN di di Dewan Datuk Seri Lajim Ukin di Beaufort.

Beliau seterusnya mengajak penyokong-penyokong BN dan GRS supaya sentiasa bersama-sama memastikan calon-calon kedua gabungan ini mencapai kemenangan pada 19 November ini.

Pada PRU kali ini, GRS bertanding di 13 kawasan Parlimen manakala BN meletakkan calon di 12 kawasan Parlimen di Sabah.

Penyokong BN-GRS yang hadir dalam program BN yang dihadiri Bung Moktar di pekan Kuala Penyu.
Setiausaha GRS Beaufort, Jali Nordin berucap menzahirkan sokongan GRS kepada calon BN Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching pada program BN di Beaufort.


Ahad, 6 November 2022

AMINAH TEMUI PENGUNDI DI PEKAN MENUMBOK

 

Aminah dan Ag Aslee melambai tangan kepada peniaga dan pengunjung tamu ketika menjayakan program "walkabout" tersebut.

BEAUFORT--Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching menemui pengundi di pekan Menumbok menerusi program walkabout di pekan berkenaan pagi tadi (Ahad).

Secara tradisinya kawasan tersebut merupakan kubu kuat BN sejak sekian lama.

Dengan diiringi Ketua Umno Bahagian Beaufort, Datuk Ag Aslee Lakat, naib ketua bahagian, Ag Damit Jion, setiausaha bahagian, Abdul Rahman Taib dan bekas ahli jawatankuasa BN Beaufort, Lokman Sunggim, Aminah berjalan kaki kira-kira sejam menemui masyarakat dan peniaga di situ.

Beberapa pemimpin dan penyokong BN turut dilihat bersama-sama beliau sepanjang program tersebut.

Aminah juga kemudian menghadiri satu majlis di kediaman bekas Naib Ketua Umno Bahagian Beaufort, Pg Jaafar Pg Osman.

Calon BN itu bersama Ketua PDM Menumbok, Haji Mohd Fadzlee Lee semasa melawat tamu pekan berkenaan.

Sementara itu, pada satu program ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Menumbok, Ag Aslee menyatakan sokongan penuhnya terhadap pemilihan Aminah sebagai calon BN di kawasan Parlimen Beaufort.

Katanya, ia selaras dengan pendirian sebelum ini bahawa siapa saja dalam kalangan pemimpin bahagian yang diberi kepercayaan pucuk pimpinan atasan akan diberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Alhamdulillah...kawasan ini telah diberi peluang kepada BN untuk meletakkan calon pada pilihan raya umum kali ini. Ini bermakna usaha kita untuk meyakinkan pimpinan atasan telah dimakbulkan." ujar beliau.

Menurutnya, kawasan ini bukan sekadar diberikan kepada BN untuk bertanding malah ia perlu memenanginya.

Ag Aslee yang juga Pengerusi BN Beaufort yakin berdasarkan sambutan dan sokongan rakyat, BN boleh memperoleh kemenangan di kawasan ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua PDM Menumbok, Haji Mohd Fadzlee Lee Abdullah, timbalannya, Pg Jaafar Pg Osman dan wakil GRS.

Aminah diiringi Ag Aslee, Rahman dan Lokman menemui peniaga di pekan tersebut.

 

 

 

Rabu, 26 Oktober 2022

BERJUANG HABIS-HABISAN PASTIKAN KEMENANGAN - BUNG MOKTAR

Bung Moktar menerangkan sesuatu pada perjumpaan itu.

KOTA KINABALU--Jentera Barisan Nasional (BN) perlu berjuang habis-habisan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang disifatkan sebagai pilihan raya ibarat "hidup dan mati" sama ada BN dapat kembali memerintah negara atau sebaliknya.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, berkata jentera BN di semua peringkat perlu menjadikan PRU-15 ini sebagai sesuatu yang serius dan berjuang semaksimum mungkin untuk memastikan calon-calon BN dan GRS menang di kawasan masing-masing.

Katanya, ini adalah penentu perjuangan hidup dan mati memandangkan berdasarkan pengalaman akibat kekalahan pada PRU-14, tiada yang menjangka bahawa BN boleh bangkit semula.

"Sewaktu PRK Kimanais tahun 2019 ketika Umno dan BN berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran, tiada siapa yang menduga kita mampu berhadapan dengan parti Warisan yang ketika itu menjadi kerajaan di Sabah."

"Namun dengan semangat juang yang tinggi serta ketentuan Allah S.W.T, BN mampu memenangi kerusi Parlimen berkenaan dan gelombang itu perlu kita perkasakan dalam menghadapi PRU-15 ini," kata Bung Moktar selepas mengadakan perjumpaan dengan sayap-sayap parti, wanita, pemuda dan puteri di Pejabat Umno Sabah di sini, kelmarin.

Bung Moktar pada satu mesyuarat dengan parti-parti komponen BN.

Hadir sama Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Arifin, Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said, Ketua Umno Sabah, Datuk Jainab Ahmad, Ketua Pemuda Umno Sabah, Datuk Abdul Aziz Julkarnain dan Ketua Puteri Umno Sabah, Datuk Dr Fadilah Sabri.

Menurut Ketua Umno Sabah itu, sayap-sayap parti, wanita, pemuda dan puteri tahu peranan masing-masing, justeru tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka perlu dilaksanakan sepenuhnya di kawasan masing-masing agar tidak diperdayakan pihak pembangkang.

"Wanita dengan Jalinan Rakyat (JR), pemuda dengan gerak gempurnya dan mendekati pengundi muda. Begitu juga puteri dengan informasi maklumat (IT) khususnya memainkan peranan di media sosial."

"Jika komponen ini dapat digemblengkan sepenuhnya sudah tentu usaha menawan hati pengundi akan menjadi lebih berkesan," ujarnya.

Bung Moktar berkata, Umno dan BN perlu beri penekanan semasa berkempen politik bahawa ia adalah parti yang sentiasa berkhidmat kepada rakyat dan bukan seperti pembangkang dengan politik fitnah, menghasut rakyat dan menabur janji-janji manis.

Beliau menambah dalam PRU-15 kali ini, jalinan kerjasama antara BN dan GRS sudah pun dipersetujui dan perjanjian secara bertulis akan dimeteraikan dalam tempoh terdekat.

Oleh itu, katanya, kedua pihak sama ada dari BN atau GRS perlu menghormati perjanjian dan kerjasama yang telah dipersetujui dengan harapan tiada elemen sabotaj yang pastinya akan menyumbangkan kepada kemenangan besar dalam pilihan raya ini bagi membolehkan penguasaan semula Putrajaya.




Rabu, 19 Oktober 2022

WANITA UMNO BEAUFORT SEDIA GALAS TANGGUNGJAWAB SEBAGAI KOMANDEN JENTERA PRU 15

 

Aminah (dua kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Amuilin, wakil Umno Sabah sambil diperhatikan Ag Aslee. 

Oleh JAAFAR WAHID (SUA TKM).

BEAUFORT--Wanita Umno Bahagian Beaufort sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai komanden jentera Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) di kawasan ini.

Ketuanya, Datuk Aminah Aching berkata, selaku sayap parti, mereka telah bersiap sedia sejak empat tahun lepas dan akan digerakkan bila-bila masa.

Menurut beliau, pucuk pimpinan tertinggi parti sudah mengamanahkan tugas kepada pergerakan wanita bahagian untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

"Presiden parti (Datuk Seri Dr Zahid Hamidi) dan Ketua Umno Sabah (Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin) sudah memberikan peranan itu kepada sayap parti itu."

"Kita sudah bersedia pada bila-bila masa," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat perwakilan wanita bahagian di Dewan Pak Musa di sini.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Ketua Umno bahagian, Datuk Ag Aslee Lakat dan turut dihadiri wakil Umno Sabah, Hajah Amuilin Junsin.

Statistik pemilih bagi Parlimen P.177 Beaufort.

Ketika diajukan soalan sekiranya Umno atau Barisan Nasional (BN) diberikan peluang meletakkan calon di kawasan berkenaan pada pilihan raya kali ini, Aminah yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian, berkata ia lebih memudahkan gerak kerja jentera wanita yang sudah dibentuk membabitkan 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Kesemua PDM tersebut termasuk 12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan 12 lagi di DUN Klias.

"Kita telah bersedia sepenuhnya dan jentera wanita komited untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan dan kami (wanita) telah pun memperkemaskan jentera di setiap PDM berkenaan," katanya yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat.

Mengenai ketetapan Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi Umno untuk memastikan 30 peratus yang bakal bertanding dalam PRU kali ini, Aminah berkata, ia merupakan langkah progresif dan dinamik bagi memastikan suara wanita diangkat dalam membuat keputusan merangka dasar dan menjadi wakil rakyat.

 

Isnin, 17 Oktober 2022

PERTAHANKAN PEMIMPIN DARI TOHMAHAN DAN FITNAH

Bung Moktar bersalaman dengan perwakilan setibanya untuk merasmikan mesyuarat tersebut.

SANDAKAN--Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin mengingatkan pemimpin dan ahli parti itu agar mempertahankan parti dan kepimpinannya dari terus menerima tohmahan dan fitnah daripada pihak lawan.

Katanya, mereka mesti sentiasa peka dengan sebarang serangan negatif dan memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk mempertahankan dari segala bentuk tohmahan dan fitnah yang tidak berasas.

"Beri perhatian serius terhadap perkara ini terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15). Kita perlu menjawap segala kritikan dan sebarang tohmahan dalam media sosial supaya orang ramai mendapat gambaran yang sebenar," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyarakat Sandakan di sini.

Menurut beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu mengaplikasi perkembangan media sosial yang berperanan sebagai pembela parti dan rakyat bagi menangani pelbagai isu ketika ini.

Bung yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata pada waktu ini, Umno dan BN harus memanfaatkan saluran media sosial untuk menjawap segala tohmahan, persepsi negatif yang sengaja ditimbulkan khususnya pembangkang kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran rakyat.

"Persepsi negatif jika dibiarkan ia boleh merosakkan pemikiran rakyat dan mereka boleh terpedaya dengan tohmahan dan fitnah yang sengaja disebarkan walaupun sebenarnya ia berniat sekadar memburukkan pemimpin dan parti," katanya.

Bung Moktar (tengah) bersama Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Bendahari Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir (kiri) pada mesyuarat bahagian berkenaan.

Beliau menambah bahawa masa kini maklumat, makluman dan data secara formal kurang memberi tarikan kepada masyarakat namun lebih mudah terpedaya dengan segala serangan-serangan berbentuk fitnah dan propaganda.

Tambahnya, walaupun Umno dan BN kerap dijadikan sasaran dan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan namun pendekatan yang wajar digunakan untuk menjawapnya hendaklah berasaskan kepada fakta.

"Oleh kerana itu, Umno dan BN perlu menjawab fitnah dan berita palsu yang kini berleluasa bagi membetulkan keadaan dan jangan biarkan ia menjadi persepsi yang buruk terhadap parti."

"Media sosial sebenarnya berperanan penting dalam menjana persepsi imej sesuatu parti. Ia lebih menjurus mendorong persepsi yang tidak baik sekiranya ia terus ditularkan dan dikongsi banyak kali oleh netizen," tegasnya.

Justeru, kata Bung Moktar, Umno dan BN terutama biro penerangan, pergerakan pemuda dan puteri perlu memainkan peranan menyampaikan maklumat dan dasar perjuangan parti kepada masyarakat secara lebih jelas, kreatif dan berfakta melalui media sosial seperti facebook, whatsapp, instagram dan tiktok.

Beliau juga meminta rakyat khususnya ahli-ahli parti jangan mudah mempercayai berita yang ditularkan di media sosial sebaliknya membuat penelitian dan menilainya dengan bijak.


Sabtu, 8 Oktober 2022

SABAH FA AKAN SERTAI PIALA PRESIDEN DAN PIALA BELIA MUSIM DEPAN

Jelani menyepak bola sebagai tanda perasmian Kejohanan Piala SAMORA.

KOTA KINABALU--Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) akan menghantar pasukan untuk bertanding dalam Piala Presiden dan Piala Belia musim depan.

Setiausaha Agung Sabah FA, Datuk Dr Jelani Hamdan yang mengesahkan perkara itu hari ini, berkata Sabah FA telah menerima jemputan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan sudah memaklumkan badan bola sepak negara itu untuk menyertai pertandingan itu.

Katanya, Sabah FA akan mengambil bahagian dalam dua pertandingan itu, selain Sabah FC yang memang mempunyai skuad Piala Presiden dan Piala Belia sebelum ini.

"Kita akan menyediakan kedua-dua pasukan berkenaan kerana Sabah FA sudah mengesahkan penyertaan kepada FAM," katanya selepas merasmikan Kejohanan bola sepak Piala Samora bawah 12 dan 11 tahun di padang SUKMA di sini.

Sebanyak 40 pasukan membabitkan B12 dan B11 mengambil bahagian dalam kejohanan dua hari anjuran Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dengan kerjasama Sabah FA itu.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Sabah FA, Azman Mastar, Setiausaha Eksekutif, David Wisom, Ahli Majlis Tertinggi Sabah FA, Mustapha Tuah, Pengarah Teknikal Sabah FA, Omar Maya Amat, dua pemain legenda Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Sabah FA, Lokman Sunggim.

Kelihatan Jelani, Azman, David, James dan Hassan bergambar dengan sebahagian pemain yang menyertai kejohanan itu.

Mengikut FAM, had umur pemain Piala Presiden 2023 adalah bawah 20 tahun manakala Piala Belia 2023 adalah bawah 18 tahun.

Ia berdasarkan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan FAM pada 1 September lepas yang telah menetapkan had umur baharu bagi kedua-dua pertandingan itu.

Jelani yang juga Pengarah Sabah FC memberitahu, tiada masalah bagi Sabah FA untuk menyertai kedua-dua pertandingan itu secara berasingan dengan Sabah FC memandangkan selaku badan bola sepak negeri, ia sudah mempunyai pengalaman untuk menyedia dan mengurus pasukan terutama Piala Presiden dan Piala Belia.

Lagi pun katanya, ia akan menawarkan lebih banyak peluang kepada pemain-pemain muda untuk terus mendapat pendedahan bagi meningkatkan prestasi permainan selain membuka peluang kepada jurulatih di negeri ini untuk memberi khidmat mereka.

"Ia juga salah satu pendekatan untuk membolehkan pemain-pemain muda berbakat yang dicungkil bakat mereka melalui program pembangunan bola sepak agar mereka mampu pergi lebih jauh dalam sukan bola sepak," ujar beliau.

Jelani berucap ketika merasmikan kejohanan dua hari itu.

Khamis, 6 Oktober 2022

BORNEO CUP BERI PENDEDAHAN BAIK UNTUK PEMAIN TABS BANDARAYA

Pemain TABS B15 bersama jurulatih Rosli, Rosmadi dan Mohd Azrul. 

Oleh Penulis Sukan.

KOTA KINABALU--Kejohanan Borneo Cup 2022 banyak memberi pendedahan kepada pemain-pemain TABS Bandaraya dengan adanya penyertaan pasukan-pasukan dari luar seperti Australia, Filipina dan Indonesia selepas ia diadakan semula tahun ini.

Kejohanan itu tidak diadakan selama dua tahun akibat pandemik Covid 19.

Timbalan Pengerusi TABS Bandaraya, Lokman Sunggim, berkata, tahap kejohanan ini semakin meningkat kerana pasukan-pasukan dari luar sentiasa memberi persaingan sepanjang kejohanan.

Katanya, TABS Bandaraya sudah mengambil bahagian dalam kejohanan itu sejak lebih 10 tahun yang lalu.

"Kita dapati pasukan-pasukan luar terutama dari Australia dan Filipina memberi cabaran kuat dalam Borneo Cup ini khususnya bagi kategori bawah umur 15 dan 16 tahun," katanya selepas bersama pasukan TABS Bandaraya yang menduduki tempat ketiga dalam kategori umur bawah 15 tahun.

TABS Bandaraya menewaskan pasukan SouthRidge School dari Filipina 1-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium UMS pada Khamis.

Kategori itu dijuarai pasukan Perth SC dari Australia selepas mengalahkan pasukan Sekolah Sukan DPM 1-0 pada perlawanan akhir di venue yang sama.

TABS Bandaraya B15 bersama pengurus pasukan (kanan sekali) dan jurulatih Rosli Jamal.

Lokman yang juga pengurus pasukan B15 dan B16 TABS Bandaraya, berkata pihaknya berpuas hati dengan semangat pemain-pemain yang berusaha memberi cabaran kepada lawan mereka.

Katanya, walaupun pasukan menjalani latihan yang singkat namun kesungguhan pemain-pemain membolehkan mereka mampu memberi saingan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain B15 dan ketua jurulatih, Rosli Jamal serta jurulatih pembantu, Rosmadi Wasli, Suharmin Yusof, Mohd Azrul dan jurulatih penjaga gol, Ledy Malantang atas usaha yang mereka lakukan," ujarnya.

Mengenai kategori umur bawah 16 tahun, beliau berharap ketua jurulatih Roslan Wasli mampu membimbing pasukan itu untuk mara ke pusingan seterusnya yang akan berakhir Sabtu ini.

Menurutnya, setakat ini pasukan itu menang 1-0 ke atas pasukan Dreaming Futbol United FC dari Filipina dan kalah dengan pasukan Grey United FC dari Kelantan.

"TABS mempunyai satu lagi perlawanan dalam Kumpulan A menentang pasukan Football West dari Australia. Perlawanan ini akan menentukan aksi ke pusingan seterusnya," tambahnya.

Lokman bersama Naib Pengerusi TABS, S.A Ramlye, Pegawai Khas Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Hasrul Awg Tuah bergambar dengan pemain-pemain TABS B15 selepas perlawanan penentuan tempat ketiga.