Sabtu, 31 Disember 2011

MP PUTATAN DIHALANG GUNA JETI SERAH BANTUAN

DR MARCUS...Anggota Parlimen Putatan dari Upko.

Anggota Parlimen kawasan Putatan, Datuk Dr Marcus Mojigoh dihalang menggunakan jeti di Kampung Tanjung Aru Baru di sini oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi majlis penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran di kampung tersebut.

Pengerusi JKKK kampung berkenaan, Mat Sah Sahad dikatakan tidak membenarkan jeti tersebut digunakan untuk program itu hanya kerana pembinaan jeti tersebut bukan dibiayai peruntukan daripada MP Putatan itu, menyebabkan majlis itu terpaksa  dibatalkan.

Pegawai Perhubungan Parlimen Puatatan, Kahar Hamid dilaporkan sebuah akhbar tempatan, berkata pengerusi JKKK berkenaan dikatakan bertegas supaya majlis itu tidak diadakan di situ dan ia dimaklumkan kepada MP itu yang ketika itu sedang  dalam perjalanan ke tempat berkenaan.

Ketika ditemui wakil media selepas pembatalan majlis itu, Kahar memberitahu, majlis penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran terbabit baru dapat dilakukan memandangkan sebelum ini Anggota Parlimen Putatan yang juga Bendahari Agung Upko itu berada di luar negara atas urusan rasmi kerajaan.

“Walaupun agak terlewat ia lebih baik daripada tiada langsung,” katanya yang kecewa dengan kejadian itu.

Berikutan pembatalan itu, kesemua 44 ketua isi rumah yang sepatutnya menerima sumbangan pada masa itu telah dinasihatkan mengambil bantuan itu di Pejabat Perhubungan Parlimen Putatan mulai 3 Januari ini.

Kahar memohon maaf kepada semua mangsa terbabit berikutan perubahan yang mendadak itu disebabkan tindakan pengerusi JKKK yang enggan membenarkan penggunaan jeti itu sebagai lokasi penyerahan bantuan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan