Ahad, 26 Februari 2012

RCI DIPERHALUSI SEBELUM DIUMUMKAN

Gambar atas: Dompok disambut para pegawai dari agensi di kementeriannya serta pemimpin parti politik selepas turun dari helikopter. Gambar bawah: Presiden Upko itu (empat dari kiri) bercakap dalam satu perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Upko Bahagian Beaufort di Kuala Penyu. Turut hadir ialah Timbalan Presiden Upko, Datuk Seri Panglima Wilfred Bumburing (terlindung/sebelah Tan Sri), Setiausaha Agung, Datuk Wilfred Madius Tangau (dua dari kiri). Juga kelihatan dalam gambar ialah Adun Kuala Penyu, John Teo (tiga dari kiri) dan Naib Ketua Bahagian 1 Upko Beaufort, Lokman Sunggim (kiri sekali).

Menteri  Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menangani masalah pendatang tanpa  izin di Sabah akan diperhalusi sebelum pengumuman rasmi dilakukan.

Katanya, penubuhan RCI pada dasarnya telah pun diluluskan oleh kabinet tetapi ia belum dapat diumumkan secara rasmi kerana terdapat beberapa perkara sedang diteliti dan diperhalusi.

Dompok yang juga Presiden Upko menyatakan demikian dalam perjumpaan dengan ahli jawatankuasa bahagian Upko Beaufort di pejabat parti bahagian itu di pekan Kuala Penyu pada Sabtu lepas.

Menurutnya, cadangan penubuhan RCI telah dibincangkan dalam dua mesyuarat kabinet Persekutuan sebelum ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang sedang diperhalusi serta pemilihan anggota panelnya yang sesuai ditentukan kerajaan sebelum pengumuman dapat dilakukan.

“Semua yang Perdana Menteri mahu lihat ialah perkara-perkara itu diperhalusi dan ditangani sebelum RCI diumumkan secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan pihak pembangkang berkaitan RCI termasuk yang dilaporkan portal berita sebelum ini adalah tidak betul.

Sebuah portal baru-baru ini melaporkan bahawa pemimpin tertinggi Umno didakwa cuba mempengaruhi Perdana Menteri supaya tidak mengumumkan mengenai RCI.

“Laporan itu adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Mengenai dengan permohonan mendapatkan subsidi penanaman kelapa sawit oleh pemohon yang menggunakan tanah berstatus LA kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dompok menjelaskan, permohonan itu tidak dapat dipertimbangkan disebabkan keputusan kerajaan negeri akibat masalah pertindihan permohonan tanah di Sabah.

Katanya, ia berbeza keadaan di Sarawak kerana kerajaan negeri  tiada halangan mengenainya dan permohonan boleh diluluskan MPOB.

Namun begitu, permohonan daripada pemilik tanah bergeran di Sabah tiada masalah dan boleh diluluskan, kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan