Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar) mengingatkan pemimpin dan ahli-ahli Umno supaya sentiasa bermuhasabah diri dalam melaksanakan tugas dan amanah demi memperkasakan lagi kekuatan parti itu agar terus relevan kepada rakyat.
Katanya, Umno kini telah bangkit semula dan melalui proses pemulihan dan ini menuntut ahli-ahli terus bekerja keras dalam memperkukuhkan lagi institusi parti.
"Lanskap politik telah berubah di mana ahli-ahli parti tidak harus lagi terlalu nolstagik dengan kejayaan masa lampau tetapi mestilah berusaha mencipta kejayaan baharu," katanya sempena dengan persidangan bahagian-bahagian Umno di seluruh bahagian di Sabah.
Persidangan yang bermula pada 1-3 Januari itu turut membabitkan pergerakan pemuda, wanita dan puteri Umno.
Bung Moktar yang juga Anggota Majlis Tertinggi (AMT) Umno, berkata kemenangan 14 kerusi Umno melalui Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri September lepas bukan satu jaminan bagi parti itu terus berkuasa dalam kerajaan yang ada sekarang.
Kerusi dimiliki Umno ketika ini menjadikan 16 kesemuanya berikutan pelantikan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik yang diperuntukkan kepada Umno.
Sehubungan itu, Ketua Umno Sabah itu juga mahu pemimpin dan ahli parti sentiasa melihat kepentingan parti sebagai keutamaan mereka.
"Teruskan usaha memperkukuhkan institusi parti, Pemimpin boleh datang dan pergi namun Umno sentiasa kekal wujud dan yang penting kewujudannya membawa kebaikan kepada rakyat," tegas beliau.
Menurutnya, ini salah satu pendekatan yang dapat memastikan maruah bangsa sentiasa terpelihara dan terjamin.