Sabtu, 30 Januari 2021

JUMAT DILANTIK PENOLONG SETIAUSAHA UMNO SABAH YANG BAHARU

Jumat (tiga dari kiri) menerima watikah pelantikan yang disampaikan Bung Moktar sambil diperhatikan Jaffry, Raime dan Ag Aslee.

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris dilantik sebagai Penolong Setiausaha Umno Sabah yang baharu.

Majlis penyerahan watikah pelantikan disampaikan oleh Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin di pejabatnya, kelmarin.

Ia disaksikan oleh Setiausaha Umno Sabah, Datuk Jaffry Ariffin, Ketua Penerangan, Datuk Raime Unggi dan Setiausaha Eksekutif Umno Sabah, Ag Aslee Lakat.

Jumat yang juga bekas Anggota Parlimen Sepanggar dilantik ke jawatan itu bagi mengisi kekosongan jawatan selepas penyandangnya, Ag Aslee Lakat sebelum ini dilantik memegang jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif Umno Sabah berikutan peletakan jawatan penyandang terdahulu, Datuk Kadzim Yahya yang dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri pada Oktober lepas.

Mengulas pelantikan itu, Bung Moktar menyifatkan Jumat sesuai untuk menggalas tugas tersebut bagi membantu melicinkan tugas-tugas Jaffry sebagai Setiausaha Umno Sabah disebabkan kesibukan tugas sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

"Saya yakin beliau (Jumat) mampu menlaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan berdasarkan pengalaman begitu lama berjuang bersama parti," katanya.

Sementara itu, Jumat mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepimpinan Umno Sabah khususnya Bung Moktar terhadap beliau menggalas tugas tersebut.

"Ini satu amanah besar yang menuntut komitmen dan kesungguhan dalam usaha untuk terus memperkasakan parti supaya mampu berkhidmat lebih berkesan kepada rakyat," ujar beliau.



Jumaat, 29 Januari 2021

PENUBUHAN SURUHANJAYA AIR DALAM KAJIAN: TKM

Bung Moktar meninjau keadaan perparitan di kawasan Dun berkenaan.

Kementerian Kerja Raya sedang menjalankan kajian dalam usaha untuk menubuhkan Suruhanjaya Air Negeri Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kajian itu dilakukan secara menyeluruh termasuk di segi perundangan dan di peringkat kerajaan tempatan sebelum dikemukakan kepada kabinet negeri.

"Ia dalam proses kajian di semua peringkat termasuk kajian undang-undang, kerajaan tempatan dan sebagainya."

"Cadangan telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri, sebab itu kita menjalankan kajian secara terperinci dan menyeluruh. Apabila tiba masanya, insyaAllah akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri," katanya kepada pemberita selepas lawatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Karambunai, hari ini.

Bung Moktar diminta mengulas berhubung perkembangan penubuhan Suruhanjaya Air yang dikemukakan kepada kabinet sebelum ini.

Bung Moktar bersama Yakub dalam lawatan ke kawasannya.

Mengenai lawatan beliau ke kawasan Dun Karambunai, Timbalan Ketua Menteri berkata masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pihaknya mendapati antara masalah yang dihadapi adalah jalan raya yang tidak diselenggarakan puluhan tahun, sistem perparitan yang tersumbat, masalah setinggan, kecurian air dan elektrik.

"Di Bandar Seirra umpamanya, salah satu yang sering ditularkan di media sosial ialah penduduk di sini sangat memerlukan bekalan air," katanya.

Bung Moktar berkata, pemaju di kawasan itu gagal menyediakan tempat penyimpanan untuk membekalkan air kepada penduduk setempat.

"Bekalan air di sini sepatutnya mencukupi tetapi tempat penyimpanan air tidak cukup".

"Kita tidak tahu jika ada masalah dalaman dan kita minta wakil rakyat di kawasan ini, Datuk Yakub Khan berhubung dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi menyelesaikan masalah ini," tegasnya.

Beliau juga meminta DBKK berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melihat kampung yang mengalami masalah banjir dan mencari jalan penyelesaian.

Katanya, JKR akan turut menghantar pegawai-pegawainya untuk meneliti cadangan penduduk supaya jalan-jalan raya di kawasan ini dilakukan penyelenggaraan.

Bung Moktar seterusnya berkata lawatan serupa akan dilakukan di seluruh negeri bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

Pengarah JKR, Ir Ali Ahmad Hamid menenrangkan sesuatu kepada Bung Moktar sambil diperhatikan Pengarah Jabatan Air, Ir Edward Lingkapo.

Selasa, 26 Januari 2021

KG PENGKALAN BUKIT GARAM TIDAK SELAMAT DIDUDUKI

Bung Moktar turun padang meninjau keadaan banjir di perkampungan itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar memberi amaran kepada penduduk Kampung Pengkalan Bukit Garam bahawa kawasan perkampungan itu tidak selamat diduduki masyarakat.

Katanya, perkara itu sudah diputuskan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Majlis Daerah Kinabatangan.

"Kawasan perkampungan ini bukan sahaja tidak selamat diduduki malah di segi kesihatan situasinya amat membimbangkan," katanya selepas meninjau keadaan banjir di perkampungan berkenaan.

Beliau kemudian menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir di perkampungan itu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Lamag, berkata keadaan perumahan di situ tidak tersusun dalam semua aspek termasuk tiada pelan perancangan, tiada kemudahan tandas yang bersih serta prasarana lain.

Bung Moktar bersama penduduk yang menyambut kehadirannya sempena lawatan ke kampung berkenaan.

"Penduduk yang merasakan perkampungan ini masih selamat untuk diduduki harus menyedari keadaan adalah sebaliknya," ujar beliau.

Adun Lamag itu menyifatkan keadaan di perkampungan berkenaan tidak berupaya untuk mengubah nasib dan masa hadapan anak-anak mereka.

"Tiada jaminan masa hadapan untuk anak-anak anda di kawasan ini dan semua penduduk harus menyedari perkara itu," jelas Bung Moktar.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perjumpaan sekali lagi kepada penduduk terbabit bagi menjelaskan perkara itu dan mematuhi arahan untuk berpindah ke lokasi yang disediakan.

Isnin, 25 Januari 2021

SABAH PERLU RM13B UNTUK TINGKATKAN KUALITI AIR

Bung Moktar melawat Loji Rawatan Air Batu Putih di Kinabatangan. Turut kelihatan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ir Edward Lingakpo (kiri).

KINABATANGAN: Kerajaan negeri memerlukan peruntukan sebanyak RM13 billion untuk memperbaiki kemudahan yang mampu membekalkan air bersih di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata peruntukan itu adalah usaha yang dilakukan untuk mempertingkatkan kualiti bekalan air di seluruh negeri.

"Kita menghadapi masalah air bersih yang kritikal ekoran 23 loji rawatan air perlu dibaik pulih dan dipindahkan selain menggantikan paip baharu, membaiki kebocoran paip dan lain-lain," katanya selepas melawat Loji Rawatan Air Batu Putih, Kinabatangan di sini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya, berkata semua sungai yang mempunyai loji rawatan air berlaku pencemaran yang teruk malah terdapat muka sauk loji tersebut perlu dipindahkan.

Katanya, ini kerana ketika loji terbabit dibina dahulu keadaan sungai berkenaan masih elok dan setelah beroeprasi berpuluh tahun, sungai-sungai tersebut telah tercemar oleh aktiviti manusia yang tidak terkawal.

Berikutan keadaan itu, Bung Moktar mengarah Jabatan Air Negeri Sabah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengemukakan laporan untuk dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan.

Ini bagi membolehkan rakyat dapat menikmati bekalan air bersih yang lebih baik, katanya.

Mengenai Loji Rawatan Air Batu Putih, beliau berkata, saluran paip air bersih ke Paris sejauh 37 kilometer telah mengalami kebocoran.

"Penduduk di kawasan Paris tidak mendapat bekalan air bersih sedangkan sumber airnya dari Kinabatangan," ujar beliau.

Edward memberi penerangan kepada Bung Moktar ketika melawat kawasan kolam takungan di Pusat Loji Air Segaliud, Sandakan. Turut bersama ialah Datuk Jaffry Ariffin, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Menurutnya, sebanyak RM10 juta diperlukan bagi kos keseluruhan baik pulih paip-paip yang mengalami kebocoran tersebut.

"Sekiranya ada peruntukan RM1 juta atau RM2 juta, ia boleh digunakan sebagai permulaan bagi kerja-kerja baik pulih itu," tambah beliau.

Beliau juga memberitahu, akibat kebocoran paip air menyebabkan kerajaan mengalami kerugian setiap tahun.

"Ketika ini 45 peratus masih lagi menggunakan paip lama," jelasnya.

Ahad, 24 Januari 2021

RM150J DIPERLUKAN BAIK PULIH JALAN ROSAK, KATA BUNG MOKTAR

Bung Moktar bersama pegawai-pegawai JKR melawat lokasi kawasan letak kenderaan yang runtuh itu di Kundasang.

Kerajaan negeri memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya sebanyak RM150 juta bagi membaik pulih jalan yang mengalami kerosakan di seluruh negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki lebih 100 jalan rosak dan jambatan yang runtuh akibat banjir.

"Ia berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap jalan raya yang mengalami kerosakan selain jambatan runtuh akibat hujan lebat sejak beberapa hari lepas," katanya ketika mengadakan lawatan di kawasan tempat letak kenderaan yang runtuh di Taman Negara Kinabalu, Kundasangan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, tambahnya, tindakan pantas JKR berjaya membaiki keadaan sebahagian jalan yang rosak dan jambatan yang runtuh.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata sehingga ini sebanyak 17 kawasan masih tidak boleh dilalui akibat kerosakan yang dialami.

Menurut beliau, pihaknya akan berusaha dan mencari jalan me daoatkan peruntukan tersebut termasuk meminta bantuan Kerajaan Persekutuan.

Rombongan Bung Moktar berjalan menuju ke kawasan yang mengalami kejadian tanah runtuh itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Menteri itu juga menambah kementeriannya dengan kerjasama agensi yang terlibat akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian tanah runtuh itu.

Katanya, ia perlu dilakukan sebelum kerja-kerja baik pulih dilaksanakan dan ia memerlukan sedikit masa lagi.

"Kajian itu untuk melihat punca pergerakan tanah di kawasan berkenaan dan memastikan ia tidak berulang lagi," tegas beliau.

 

 

 


SAFA ANJUR DUA KEJOHANAN BOLASEPAK TAHUN INI

 

Azman bersama ahli-ahli jawatankuasa pertandingan yang bermesyuarat pagi tadi (Ahad). 

KOTA KINABALU: Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) akan menganjurkan kejohanan bolasepak Piala Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor dan Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin tahun ini.

Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar, berkata Piala Hajiji akan menggantikan kejohanan Piala Ketua Menteri yang dianjurkan sebelum ini manakala Piala Bung Moktar Radin, ia kejohanan baharu bagi merebut Piala Presiden SAFA.

Katanya, bagi kejohanan Piala Hajiji tiada had umur pemain ditetapkan namun kejohanan Piala Bung Moktar hanya membabitkan pemain berumur bawah 18 tahun sahaja.

Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, memberitahu bagaimanapun kedua-dua kejohanan tersebut belum ditentukan tarikh pertandingan diadakan tetapi ia akan tetap dilaksanakan tahun ini.

"Jawatankuasa pertandingan mengadakan mesyuarat pertamanya hari ini dan selepas ini kita akan memutuskan tarikh kejohanan itu dijalankan," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di pejabat SAFA, pagi ini.

Menurut beliau, kedua-dua kejohanan tersebut akan membabitkan lapan zon yang telah dipersetujui dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Zon itu ialah Zon Sandakan yang melibatkan pasukan Sandakan selaku tuan rumah, Beluran dan Kinabatangan, Zon Tawau terdiri dari Tawau (tuan rumah), Semporna, Lahad Datu dan Kunak, Zon Pedalaman Bawah terdiri dari Keningau (tuan rumah), Tenom, Tambunan dan Nabawan, Zon Pantai Barat Selatan terdiri dari Beaufort (tuan rumah), Kuala Penyu, Menumbok dan Sipitang, Zon Pedalaman Atas terdiri dari Ranau (tuan rumah), Telupid dan Tongod, Zon Pantai Barat terdiri dari Kota Kinabalu (tuan rumah), Putatan dan Papar, Zon Utara terdiri dari Kudat (tuan rumah), Kota Marudu, Pitas dan Kota Belud dan Zon Utara Bawah terdiri dari Tuaran (tuan rumah), Tamparuli dan Penampang.

Ahli jawatankuasa itu bergambar di hadapan bangunan pejabat SAFA.

Penolong Setiausaha Agung SAFA itu menegaskan bahawa kedua-dua kejohanan itu bertujuan untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam usaha untuk memajukan sukan bolasepak di Sabah.

Ini, katanya, sejajar dengan aspirasi dan hala tuju Pemangku Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan sukan bolasepak terus dikembangkan sekali gus mengembalikan prestasi pasukan Sabah ke landasan yang betul.

"Kita perlu memberi sokongan sepenuhnya terhadap hala tuju ini memandangkan sukan bolasepak sangat diminati ramai," ujarnya.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA adalah antara 19 jawatankuasa yang diwujudkan badan bolasepak negeri dalam mesyuarat SAFA pada 10 Januari lepas.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Azman Mastar, Lokman Sunggim (timbalan pengerusi), David Wisom (setiausaha), Hashim Soon (setiausaha kerja), Abdul Agus (bendahari), Stanley Chew, Omar Maya Amat, Azah Ezrien dan Awal Taham (pengarah pemilih pertandingan), Osman Harun (pegawai penyelaras pengadil), Eldrin Noel Siaw (pengarah logistik), Jaafar Wahid (pengarah media), Matasan Ahmad, Azman Soibah dan Malim Surat (ahli jawatankuasa).

Azman juga memberitahu, kejohanan itu akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kebenaran pihak kerajaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  ekoran penularan wabak Covid 19.

"Kita perlu menganjurkan kejohanan-kejohanan ini memandangkan jiran kita Sarawak sudah lebih dulu merancang berbuat demikian," tegasnya.

 

 

Jumaat, 22 Januari 2021

SABAH AKAN WUJUDKAN SURUHANJAYA AIR

Bung Moktar bercakap kepada para wartawan dalam sidang media di pejabatnya.

Sabah akan mewujudkan Suruhanjaya Air sebagai langkah penyelesaian jangka panjang permasalahan air yang dihadapi di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Jabatan Air Negeri Sabah akan menyediakan kertas cadangan bagi pewujudan suruhanjaya itu untuk dibincangkan dalam kabinet negeri.

Katanya, perkara itu juga memerlukan pindaan enakmen berkaitan air dan perlu dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan suruhanjaya itu dapat ditubuhkan. 

"Suruhanjaya ini nanti membolehkan air dapat diswastakan dan ia sekali gus bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan air yang dihadapi rakyat sejak sekian lama," katanya dalam sidang media di pejabatnya, pagi tadi.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya, berkata masalah air yang berlarutan begitu lama di Sabah tidak akan dapat di atasi sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan.

Katanya, penubuhan suruhanjaya air ini merupakan langkah jangka panjang untuk menangani permasalahan air dan perancangan demikian adalah jalan terbaik.

Menurut beliau, terdapat 22 loji rawatan air daripada 84 kesemuanya dikenal pasti bermasalah pada tahap kritikal sehingga tidak mampu membekalkan air kepada orang ramai.

Bung Moktar menerangkan sesuatu dalam sidang media itu sambil diperhatikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ir Edward Lingkapo dan pegawai-pegawai jabatan berkenaan.

Ini akibat berlakunya pencemaran sungai yang teruk disebabkan pembangunan, pembukaan tanah serta penerokaan kawasan hutan telah menjejaskan operasi loji terbabit.

"Ia antara punca banyak daerah mengalami gangguan bekalan air serta menjejaskan perkembangan sektor industri disebabkan bekalan air tidak mencukupi selain sering berlaku gangguan," tambahnya.

Loji-loji tersebut terletak di Tuaran, Kinabatangan, Kota Belud, Tawau, Kalabakan, Kunak, Tenom, Nabawan, Sook, Tulid, Beaufort, Sipitang dan Keningau.

Bung Moktar menjelaskan bahawa kebanyakan loji berkenaan sudah berusia 20 tahun dan ia sering mengalami masalah sama ada musim kemarau atau hujan.

Bagi penyelesaian jangka masa pendek, katanya, Jabatan Air akan membina tangki simpanan air di loji tertentu di samping membina kolam besar atau Off River Storage (ORS) menggunakan air sungai di loji bermasalah yang lain.

Ditanya mengenai Projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa Tiga atau Empangan Sungai Papar, beliau berkata, ia akan diteruskan namun lokasinya akan dipindahkan ke hulu sungai berkenaan di mana empangan itu boleh bertahan antara 80 hingga 100 tahun.





Khamis, 21 Januari 2021

FLYOVER HILLTOP LUYANG AKAN DIPERBAIKI SEGERA: TKM

Ir Ali Ahmad menunjukkan kepada Bung Moktar keretakan yang berlaku di jejabat itu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi jaminan bahawa jejambat (flyover) di Hilltop Luyang yang mengalami keretakan akan diperbaiki segera oleh syarikat konsesi yang diberi tanggungjawab kerajaan untuk menyelenggara jalan berkenaan.

Katanya, syarikat konsesi tersebut akan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan itu memandangkan syarikat kontraktor yang membina jejambat itu telah pun menyerahkannya kepada kerajaan sebelum ini setelah ia siap sepenuhnya.

"Setakat ini jejambat itu masih boleh dilalui kenderaan namun sebelah lorong atas dan bahagian bawahnya ditutup demi keselamatan pengguna jalan raya. Papan tanda amaran juga telah dipasang di situ," katanya selepas meninjau keadaan keretakan di jejambat tersebut, hari ini.

Bung Moktar melakukan lawatan mengejut untuk meninjau keadaan jejambat berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya memberitahu, keretakan itu berlaku disebabkan dua struktur yang berbeza dan di bawah jejambat itu terdapat sistem perparitan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kebimbangan pengguna jalan raya di samping untuk keselamatan agar keretakan yang berlaku tidak melarat.

Mengenai bilangan jalan raya yang mengalami keruntuhan akibat hujan beberapa hari lepas, Bung Moktar, berkata kementeriannya sedang mengumpul data dan menjangka terdapat lebih 10 jalan raya terlibat.

"Sekiranya keadaan hujan berterusan, kita tidak menolak kemungkinan kejadian boleh berlaku lagi. Kita berdoa supaya keadaan cuaca tidak menentu akan kembali reda," ujarnya.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap kementerian, Jasmin Julpin, Pengarah Jabatan Kerja Raya, Ir Ali Ahmad Hamid, pegawai-pegawai kementerian dan wakil dari syarikat konsesi.

Sebahagian lorong yang ditutup untuk keselamatan pengguna.

 

Rabu, 20 Januari 2021

SABAH MOHON PERUNTUKAN PUSAT BAIKI RUNTUHAN LETAK KERETA DI KUNDASANG

Kawasan letak kereta yang runtuh di Taman Negara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memohon peruntukan dari Kerajaan Persekutuan untuk membaiki kawasan letak kereta di Taman Negara Kinabalu, Kundasang yang runtuh, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kawasan letak kereta itu perlu diperbaiki segera supaya ia tidak menjejaskan jalan utama antara Kota Kinabalu ke Ranau.

Katanya, tambahan lagi kawasan berkenaan merupakan lokasi tumpuan pelancong dan menjadi tempat meletak kenderaan bagi pengunjung ke Taman Negara Kinabalu. 

"Kementerian Kerja Raya akan menyediakan anggaran kos bagi kerja-kerja pembaikan untuk dikemukakan kepada Kerajaan Pusat," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, petang tadi.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya (gambar), berkata sehingga ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun memasang papan tanda amaran selain kerja-kerja penyelenggaraan sementara dilakukan bagi menghalang runtuhan itu memberi kesan kepada jalan utama berhampiran.

Menurut beliau, sekiranya tidak diperbaiki segera, kesan jangka panjang runtuhan boleh menjejaskan jalan utama Kota Kinabalu - Ranau.

Dalam kejadian pada Selasa, kawasan letak kereta itu telah runtuh dengan keluasan kira-kira 100 meter akibat hujan turun sejak beberapa hari lepas.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Keadaan tanah runtuh di Taman Negara Kinabalu, Kundasang.

Ditanya mengenai keruntuhan di Jalan Pitas - Kinabungan yang melibatkan bangunan Loji Rawatan Air Paitan, Timbalan Ketua Menteri itu menjelaskan JKR akan menggunakan peruntukan kecemasan AP55 untuk membaikpulih jalan tersebut.

"Setakat ini laporan yang saya terima hanya bangunan kuarters loji air menggelongsor akibat runtuhan tersebut sementara bangunan loji rawatan air masih boleh berfungsi," ujar Bung Moktar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Air Sabah, Edward Lingkapo, berkata jabatan sedang melakukan siasatan dan akan menyediakan laporan terperinci berhubung kejadian itu.

Pusat Rawatan Air Paitan adalah di bawah konsesi syarikat yang diberi tanggungjawab mengendalikannya.

Bangunan kuarters loji air menggelongsor akibat runtuhan jalan tersebut.


WANITA UMNO BEAUFORT TERUS DEKATI GOLONGAN KURANG BERKEMAMPUAN

Aminah (tiga kiri) bersama rombongan berjalan kaki akibat jalan tidak dapat dilalui kenderaan untuk menghantar bantuan makanan di sebuah kampung di Klias.

Pergerakan Wanita Umno Bahagian Beaufort akan terus mendekati golongan kurang berkemampuan di daerah berkenaan yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketuanya, Hajah Siti Aminah Aching.

Beliau berkata, ia termasuk golongan yang ditimpa musibah, warga emas, kurang upaya dan mereka yang terlantar sakit.

Katanya, pergerakan itu akan sentiasa dan terus melaksanakan tanggungjawabnya menyantuni rakyat yang terkesan dengan situasi sekarang mengikut  prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Kita memahami situasi ketika ini dengan pelaksanaan PKP ditambah lagi keadaan cuaca yang tidak menentu, semua pihak terutama golongan yang kurang berkemampuan, sakit dan ditimpa musibah begitu terkesan,".

"Justeru, Wanita Umno bahagian akan terus berusaha mendekati mereka dan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka tanggung," katanya selepas melakukan program ziarah di kawasan Parlimen Beaufort membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Kuala Penyu, baru-baru ini.

Aminah menyampaikan sumbangan bahan makanan kepada seorang penduduk di Kg Melabau, Klias.

Aminah yang juga Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, berkata usaha itu selaras dengan tanggungjawab sosial parti kepada masyarakat ketika mereka sedang memerlukan bantuan segera.

Katanya, ini adalah tanggungjawab sosial parti dan selaku sayap parti tentunya mahu mengelak persepsi bahawa Wanita Umno hanya bergerak secara bermusim.

"Program ziarah sebegini akan terus berjalan dan bukan ketika musim pilihan raya sahaja bagi memastikan golongan kurang berkemampuan sentiasa mendapat pembelaan," tegasnya.

Dalam hubungan ini, Ketua Wanita Umno bahagian itu juga meminta ketua-ketua cawangan Wanita Umno di bahagian ini supaya sentiasa peka terhadap sebarang isu atau masalah yang dihadapi masyarakat di cawangan masing-masing.

Ini membolehkan golongan yang berhadapan dengan masalah kritikal tidak terbiar sebaliknya dapat diberikan bantuan yang sewajarnya, tambahnya.

Beliau berharap semua pemimpin akar umbi khususnya wanita Umno sentiasa memantau keadaan dan menyalurkan segera maklumat kepada pejabat Wanita Umno bahagian supaya langkah susulan dapat diambil.

Menyerahkan sumbangan kepada warga emas yang terselamat dalam tragedi kebakaran di Kg Melikai, Kuala Penyu, baru-baru ini. Turut kelihatan ialah Penolong Pegawai Daerah Menumbok, Joumat Bisnin.

Selasa, 19 Januari 2021

BANTUAN 300 BAKUL MAKANAN KEPADA PENDUDUK DI DUN LAMAG TERJEJAS BANJIR

Seorang petugas mengharungi banjir untuk menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas.

Keadaan hujan yang berterusan menyebabkan kebanyakkan daerah di Sabah mengalami bencana banjir dan daerah Kinabatangan khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag tidak terkecuali menghadapi masalah serupa.

Sungguh pun situasinya masih terkawal namun ia sedikit-sebanyak menjejaskan kehidupan harian penduduk di kawasan berkenaan. Mereka bukan  sahaja tidak dapat keluar mencari rezeki malah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut membatasi pergerakan untuk urusan lain. 

Menyerdari keadaan itu, Timbalan Ketua Menteri yang juga Adun Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar bawah) mengambil langkah proaktif dengan segara menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terjejas.

Katanya, bungkusan makanan itu diagih-agihkan di beberapa kampung terutama mereka yang terbeban akibat masalah banjir.

Pengagihan bantuan itu diselaraskan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag yang diketuai Pemimpim Pembangunan Masyarakat (PPM), Abu Bakar Gapar.

Menurut beliau, UPPM menerima makluman Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya supaya menyalurkan bantuan tersebut dalam kadar segera untuk meringankan beban yang dialami penduduk terjejas di kawasannya.

"Dengan kerjasama daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK), kita mengagihkan bantuan ini supaya segera sampai kepada mangsa-mangsa banjir tersebut," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya juga menerima aduan daripada penduduk berhubung parit yang tersumbat di beberapa kampung dan tindakan susulan akan dilakukan bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir.


Isnin, 18 Januari 2021

PEMUDA UMNO BEAUFORT HULUR SUMBANGAN PETUGAS BARISAN HADAPAN

R
ombongan Pemuda Umno Beaufort bersama Setiausaha Umno bahagian, Abdul Rahman Mohd Taib bergambar dengan petugas barisan hadapan di Terminal Feri Menumbok selepas menyampaikan sumbangan.

Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort tampil menghulurkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Penolong Setiausahanya, Fathul Radzi Lee, berkata walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa namun ia sebagai tanda rasa tanggungjawab menghargai serta memberikan sokongan kepada mereka yang bertungkus lumus menjalankan tugas di barisan hadapan.

Katanya, golongan terbabit berkhidmat dengan tekun bukan sahaja berhadapan dengan wabak Covid-19 tetapi juga dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Antara barang-barang yang disumbangkan termasuk keperluan makanan, air mineral, pelitup muka dan sebagainya hasil sumbangan pergerakan itu dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Beaufort, Ag Aslee Lakat.

Rombongan itu sempat mengabadikan kenangan bersama anggota polis dan Rela ketika mengunjungi petugas terlibat.

Menurut Fathul, selaku sayap parti, Pemuda Umno berkewajipan turut memberi sumbangan apa sahaja yang mereka termampu  kepada mereka yang melaksanakan tanggungjawab di barisan hadapan.

Rombongan mereka diketuai Naib Ketua Pemuda Umno bahagian, Md Rashid Mathon dan turut disertai Setiausaha Umno bahagian, Abdul Rahman Mohd Taib, Setiausaha Kerja bahagian, Ak Mohd Izzan serta beberapa ketua cawangan pemuda.

Beliau berharap usaha mereka itu akan membolehkan lebih ramai golongan muda membabitkan diri dengan program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

 


Ahad, 17 Januari 2021

PEMANDU DIMINTA BERHATI-HATI LALUI JALAN YANG RUNTUH, DITENGGELAMI BANJIR

Jalan raya yang mengalami keruntuhan di kawasan Kampung Tudan, Penampang Jalan Tambunan - Kota Kinabalu.

Pengguna jalan raya di negeri ini diminta sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika memandu kenderaan mereka berikutan hujan berterusan menyebabkan sebahagian jalan raya mengalami kerosakan, runtuh dan ditenggelami banjir.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kebanyakkan jalan runtuh berlaku di kawasan berbukit dan tidak boleh dilalui kenderaan.

Katanya, sebagai contoh jalan raya yang mengalami keruntuhan serius berlaku di jalan Kota Kinabalu - Tambunan iaitu di lokasi Kampung Tudan, Penampang.

"Jalan lain yang runtuh dan mengalami keretakan ialah di Jalan Maang, Penampang menuju ke Lok Kawi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

BUNG MOKTAR...pemandu perlu berhati-hati.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat pemegang konsesi penyelenggaran melakukan pemantauan dan memasang papan tanda untuk keselamatan pengguna.

Menurutnya, pengguna perlu lebih berhati-hati menggunakan jalan alternatif lain bagi menjamin keselamatan mereka dan sampai ke destinasi yang dituju.

"Pengguna jalan raya wajar mendapatkan maklumat dari JKR supaya mereka memperoleh info yang tepat," ujar beliau.

Bung Moktar juga berterima kasih kepada netizen yang memuat naik isu berkaitan keadaan jalan raya di media sosial dan melalui aplikasi whatsapp yang dihantar terus kepadanya.

Flyover di Luyang yang mengalami keretakan.

Mengenai masalah keretakan jejambat (flyover) di Luyang, beliau berkata, jurutera perunding sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Katanya, pihak JKR kini menunggu keputusan daripada mereka untuk mengambil tindakan susulan.

"JKR akan menampal simen di tempat yang retak untuk sementara dan pada masa yang sama Pengarah JKR akan mengadakan mesyuarat teknikal sebaik sahaja laporan diperolehi," tegasnya.

KM NASIHAT SEMUA PIHAK BERJAGA-JAGA HADAPI BANJIR

Hajiji meninjau paras air Sungai Tuaran yang dijangka naik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor hari ini turun padang melawat kawasan banjir di Kampung Kegayungan dan meninjau paras air Sungai Tuaran yang terus naik berikutan keadaan hujan turun berterusan sejak petang kelmarin.

Beliau diiringi Setiausaha Politiknya, Johari Saiman.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji menasihatkan semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga serta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Katanya, dalam menghadapi bencana banjir dan kejadian air pasang besar semasa Covid-19, kerajaan negeri mahu semua pihak terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Ini bagi memastikan keselamatan orang ramai dan perkara yang tidak diingini berlaku serta bagi memutuskan rantaian wabak virus Covid-19.

Ketua Menteri juga memberitahu bahawa setiap keluarga yang terjejas akibat bencana banjir dan fenomena air pasang besar akan menerima wang ehsan sebanyak RM500 untuk meringankan beban mereka.

Katanya, bantuan itu akan diagihkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pejabat Daerah yang terlibat.

Hajiji ditemuramah wakil media ketika melawat mangsa banjir di Likas.

Sementara itu, Hajiji juga melawat mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Likas.

Turut hadir ialah Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Noorliza Awang Talip.


KERAJAAN NEGERI SETUJU LAKSANA BANTUAN PRIHATIN COVID-19 2.0

Hajiji menerima cenderahati yang disampaikan Rahim ketika kunjungan hormat itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakan Bantuan Prihatin Covid-19 2.0 kepada rakyat yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut beliau, bantuan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM128.98 juta.

"Agihan yang akan dibuat adalah peruntukan RM97.4 juta bagi bantuan "one off" untuk 324,661 orang terdiri daripada golongan penerima e-kasih, B40, anak yatim, orang tua, orang kurang upaya, ibu tunggal, petani, nelayan, pekebun kecil, penternak, pemandu pelancong, malim gunung, porters, penggiat seni, pemandu teksi, bas, lori dan penjaja," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Ketua Menteri menambah, peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM31.58 juta pula adalah bagi membiayai perbelanjaan bakul makanan kepada penduduk yang terkesan akibat arahan kuarantin di rumah dan lokaliti yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Ketua Menteri menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abdul Rahim Bakri di kediaman rasmi Rumah Yayasan Sabah di Jalan Tuaran, kelmarin.

Perbincangan mereka berkisar isu berkait pembangunan di negeri ini, kata Rahim yang juga Anggota Parlimen Kudat.


BANTUAN MAKANAN UNTUK PENDUDUK PITAS YANG TERPUTUS PERHUBUNGAN

Kerajaan negeri menyediakan bantuan bakul makanan kepada penduduk di beberapa kampung di daerah Pitas yang terputus perhubungan jalan raya dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan makanan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (gambar), berkata kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi penduduk terbabit untuk keluar membeli keperluan bahan makanan disebabkan sistem perhubungan jalan raya terputus.

Katanya, penghantaran makanan itu dilakukan melalui udara menggunakan helikopter Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah.

Bagaimanapun, tambah beliau, kapasiti pengangkutannya agak terhad.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media kira-kira 4,000 penduduk membabitkan 15 kampung di Pitas terputus bekalan makanan ekoran masalah banjir di daerah berkenaan.

Menurutnya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmy Yahya turut turun padang untuk memantau keadaan serta menyertai usaha penghantaran dan pengagihan bantuan bakul makanan tersebut.

"Kita berharap usaha ini sedikit-sebanyak dapat membantu meringankan beban dihadapi penduduk terbabit," ujarnya.

Ir. Shahelmy menyertai penghantaran bantuan bakul makanan menggunakan helipokter di padang SK Liu, Pitas.

Timbalan Ketua Menteri itu menambah, bagi kampung-kampung yang masih boleh dihubungi melalui jalan darat, pihak Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Pitas, Anggota Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri dan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas dan Bengkoka telah pun menyelaraskan bantuan bakul makanan kepada penduduk terlibat.

Ditanya mengenai keadaan jalan raya dan jambatan yang mengalami kerosakan di daerah berkenaan, Bung Moktar, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan kerja-kerja pembaikan dalam masa terdekat.

Katanya, bagaimanapun ia bergantung kepada faktor cuaca dan langkah segera yang boleh dilakukan ialah membina jalan laluan alternatif untuk pengguna.